Shak tekad raih emas sulung

SHAK Yuki (kiri) FOTO: Saifullizan Tamadi
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

SUKAN SEA Filipina menjadi medan terbaik buat gimnas negara, Shak Yuki untuk meraih pingat emas sulungnya selepas dua kali gagal menyertai temasya itu sebelum ini. 

Atlet gimrama berusia 19 tahun itu terlepas peluang menyertai edisi di Singapura dan Kuala Lumpur akibat dibelenggu isu kecederaan pada lutut kirinya. 

"Saya mengalami kecederaan sejak 2015 sehingga terpaksa menjalani pembedahan dan mengharungi proses pemulihan.

"Namun, keadaan saya semakin positif dan giat menjalani latihan selain menyertai beberapa kejohanan termasuk di luar negara sejak tahun lalu," katanya kepada Arena Metro. 

Shak yang kembali dalam usaha mengejar cita-citanya mewakili Malaysia di pentas temasya sukan dwitahunan itu enggan mensia-siakan peluang berkenaan.  

"Biarpun agak gementar pada penampilan pertama, saya yakin mampu membantu rakan sepasukan meraih emas untuk negara.  

"Keyakinan itu bersandarkan kejayaan saya meraih gangsa bagi acara lima aparatus pada Kejohanan Asia tahun lalu dan menduduki ranking terbaik di Piala Cabaran Dunia, Belarus sebelum ini," katanya.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu turut berazam memperagakan persembahan terbaik bagi mencabar skuad Thailand dan Filipina yang dianggap saingan kuat negara nanti.  

Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sebelum ini dilaporkan optimis skuad gimrama mampu mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN). 

Untuk rekod, kem gimrama kebangsaan menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan pada KL2017.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 06 Nov 2019