'Ambil balik pingat emas'

Kim Swee mahu skuad B-22 manfaat peluang terbaik di Filipina. FOTO NSTP
BERNAMA

MALAYSIA hanya perlu menjelmakan semangat ‘Harimau Malaya’ selepas memiliki segala keupayaan untuk menamatkan dominasi Thailand dalam acara bola sepak di Sukan SEA 2019 Filipina sekali gus merangkul pingat emas pertama dalam tempoh lapan tahun.

Edisi 2011 di Jakarta merupakan kali terakhir Malaysia meraih emas di Sukan SEA sebelum giliran Thailand mempertahankan ‘ibu segala pingat’ itu dalam tiga edisi berikutnya termasuk kejayaan menewaskan Malaysia 1-0 di pentas final edisi 2017 di Stadium Shah Alam.

Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara kini dibarisi sebahagian besar pemain yang sudah bersama sejak kempen kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, Mac lalu selain beberapa pemain yang sudah bersama pengendali Datuk Ong Kim Swee sejak tiga tahun lalu.

Kelebihan itu ternyata melegakan Kim Swee meskipun terpaksa menempuh beberapa kekangan tertentu dalam menyediakan pasukan terbaik menjelang saingan di Manila nanti.

“Ini salah satu faktor agak membantu di mana saya tidak perlu fikir tentang perkara asas.

Jurang masa amat pendek untuk saya menyediakan pasukan daripada segi taktikal di mana ia amat penting untuk difahami semua pemain apabila kita bertemu pasukan-pasukan tertentu,” katanya.

Seramai 23 pemain daripada 28 disenaraikan Kim Swee ke kem latihan pusat bermula Isnin lalu hadir melaporkan diri namun pengendali berusia 48 tahun itu jelas masih menunggu ketibaan beberapa pemain, yang kini sedang menabur bakti bersama skuad B-18 dan skuad kebangsaan.

Antara pemain itu adalah Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Muhamad Umar Hakeem daripada skuad B-18 sementara Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Syahmi Safari dan Dominic Tan yang bersama skuad kebangsaan ketika ini.

“Kalau ikutkan kehadiran, sudah tentu setiap jurulatih inginkan pemain terbaik, tetapi apabila terdapat pemain B-22 ke pasukan kebangsaan yang merupakan satu pentas berbeza dan intensiti berbeza ia akan beri mereka pengalaman berguna, untuk digunakan bersama pasukan B-22.

“Untuk barisan pemain skuad B-18, mereka bermain secara kompetitif di kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020, jadi itu tidak menimbulkan sebarang masalah,” jelas Kim Swee.

Kini, harapan Kim Swee adalah kesemua pemain yang terbabit bersama pasukan B-18 dan pasukan kebangsaan bebas sebarang kecederaan dan sedia mengharungi beberapa perlawanan lanjutan di temasya Sukan SEA.

“Saya harap apabila mereka kembali daripada tugas, masing-masing semua berada dalam keadaan cukup baik untuk mengharungi kemungkinan empat hingga enam perlawanan lagi di Sukan SEA nanti,” tambah beliau.

s

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan pasukan tuan rumah, Filipina manakala Thailand bakal menerima cabaran sengit selepas diundi bersama Vietnam, Indonesia, Laos, Singapura dan Brunei dalam saingan Kumpulan B.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 07 Nov 2019