Jawairiah masih sandaran terbaik

JAWAIRIAH
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

PENGURUS pasukan tenis ke Sukan SEA, Datuk Sallahuddin Ahmad Kamal menegaskan pemain utama negara, Jawairiah Noordin masih sandaran terbaik untuk meraih pingat dan yakin dia mampu pulih sebelum temasya Sukan SEA Filipina membuka tirai hujung bulan ini.

Menurutnya, khidmat Jawairiah penting apabila mempamerkan peningkatan dalam permainan dan mampu menyaingi pemain mempunyai kedudukan lebih tinggi daripadanya.

Namun katanya, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) tidak menyenaraikannya dalam senarai sasaran pingat disebabkan kecederaan membelenggu atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

“Berdasarkan senarai akhir pemain, Jawairiah akan beraksi di Sukan SEA nanti. Esok dia akan berjumpa doktor pakar di Institut Sukan Negara dan jika dia cergas sepenuhnya, maka dia boleh bermain untuk acara perseorangan, jika tidak ia adalah satu risiko.

“Mungkin kita boleh letakkan dia beraksi dalam acara beregu wanita ataupun campuran, tapi apa pun kita kena dapatkan keputusan daripada pakar.

“Tenis akan bermula pada 1 Disember bermakna kita mempunyai sekurang-kurangnya dua minggu, Insya-Allah mencukupi dan saya rasa dia boleh pulih,” katanya ditemui selepas sidang media Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Jawairiah dilapor mengalami kecederaan ringan di paha sewaktu beraksi dalam Kejohanan Jemputan One Belt One Road di Kunming, China ketika aksi separuh akhir menentang pasukan tuan rumah, bulan lalu.

Mengulas lanjut katanya, pemain negara termasuk Jawairiah mempamerkan peningkatan permainan selepas dibimbing jurulatih berpengalaman, S Suresh sejak Ogos lalu.

"Jawairiah ini saya sendiri terkejut sebab lama tidak lihat dia main. Tahap permainan dia bukan lagi peringkat kebangsaan, malah boleh menentang pemain di kedudukan lebih tinggi.

"Jurulatih Suresh dah buat pembetulan dari segi teknik, cuma mereka (pemain) perlu lebih pendedahan untuk capai tahap lebih tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sallahuddin berkata, dua pingat gangsa disasarkan LTAM di Filipina menerusi acara beregu campuran (Christian Didier Chin / Theiviya Selvarajoo) dan beregu wanita (Sara Nayar / Theiviya).

Untuk rekod, pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Malaysia memenangi satu pingat gangsa menerusi Jawairiah / Theiviya menerusi acara beregu wanita.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 07 Nov 2019