Malaysia mampu jadi hub e-Sukan Asia

SYED Saddiq (tengah) bergambar bersama pasukan e-Sukan untuk Sukan SEA Manila di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - FOTO Supian Ahmad
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub e-Sukan peringkat Asia.

Menurutnya, untuk merealisasikan impian berkenaan beliau mengakui semua pihak harus bekerja keras seperti apa dilakukan sebelum ini sehingga berjaya mengungguli peringkat Asia Tenggara.

"Kita mahu jadi kuasa besar di Asia bukan hanya Asia Tenggara. Lihat seperti mana dilakukan China. Penggiat e-Sukan di Malaysia harus diberikan sokongan sepenuhnya," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad e-Sukan Sukan SEA Filipina 2019, hari ini.

Ujarnya, penggiat e-Sukan harus bekerjasama dengan industri permainan video dan dalam masa sama tenaga tempatan harus diberi lebih peluang.

"Pereka grafik tempatan boleh bekerjasama dengan penggiat e-Sukan negara untuk merealisasikan perkara ini," katanya.

Ditanya mengenai skuad Sukan SEA, Syed Saddiq mengharapkan pemain yang terpilih mampu membanggakan nama negara di temasya dwi tahunan itu.

"Mereka mempunyai prestasi sangat baik sejak kebelakangan ini dan diharapkan mampu membawa pulang pingat sebanyak mungkin. Penglibatan mereka juga menangkis persepsi negatif mengenai pembabitan mereka dalam e-Sukan.

"Mereka membawa bendera Malaysia dan menjadi perwira kita. Jadi kita harus membantu sepenuhnya. Terima kasih kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kerana memainkan peranan besar dalam industri e-Sukan negara," katanya.

Syed Saddiq juga mengumumkan 'blueprint' mengenai e-Sukan negara akan dibentangkan pada 21 November ini dan ia juga akan membincangkan bagaimana untuk menggunakan peruntukan dibentangkan di Belanjawan 2020 dengan sebaiknya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 09 Nov 2019