Welson sandaran emas renang

Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

JAGUH renang kebangsaan, Welson Sim diletakkan sebagai sandaran utama untuk mengekalkan kutipan tiga pingat emas buat kontinjen negara pada Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Ketua jurulatih renang negara, Chris Martin menganggap atlet berusia 22 tahun dari Sarawak itu kini berada di landasan terbaik untuk meraih kejayaan pada temasya dwitahunan berkenaan.

"Kami setakat ini belum dapat meletakkan sasaran sebenar pingat namun amat komited berusaha untuk kekal meraih tiga emas yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) .

"Selain Welson yang juga pemenang dua pingat emas, barisan perenang muda lain turut berpotensi untuk beraksi cemerlang sekali gus membawa pulang pingat buat negara nanti," katanya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Cabaran negara di Clark bermula 4 Disember depan bakal digalas seramai 15 atlet bagi kategori lelaki dan wanita membabitkan 34 acara dipertandingkan.

Dalam pada itu, Martin mengakui persiapan skuad bimbingannya berdepan sedikit kesukaran berikutan faktor kurang menyertai pertandingan dan tidak menjalani latihan awal di venue pertandingan.

"Biarpun tuan rumah hanya membenarkan semua pasukan menjalani latihan sehari sebelum bertanding, saya percaya semua atlet kita sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi cabaran sengit," kata jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu.

Pengurus pasukan, Liee Yien Yee berkata, Welson yang sedang giat berlatih di Melbourne, Australia, akan terus ke Filipina untuk menyertai skuad kebangsaan awal bulan depan.

Pada KL2017, sukan akuatik paling menyerlah apabila menghadiahkan keseluruhan 20 pingat emas buat kontinjen negara termasuk lima dalam acara renang.

Untuk rekod, Welson bukan saja meraih emas pertama malah memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara 400 meter (m) gaya bebas di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil dengan catatan 3:50.26 saat mengatasi rekod lama dilakukannya ketika edisi Singapura pada 2015.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 12 Nov 2019