Sambo kunci mulut ada sebab

NOOR Asnida (kanan) gigih menjalani latihan di Terengganu.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

PASUKAN sambo kebangsaan bermain psikologi apabila enggan mendedahkan sasaran pingat sebenar di Sukan SEA Filipina.

Pengurus pasukan, Sebastian Chan berkata, mereka perlu mengunci mulut bertujuan mengelak dihidu lawan sekali gus merancang strategi bagi menyaingi atlet negara kelak.

"Banyak negara lain akan lihat (sasaran) dan berhati-hati buat persediaan terbaik mereka untuk menyaingi kita. Tapi memang kami sasar untuk pingat, saya amat yakin atlet kita mampu mencapainya,"katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Sebagai rekod, sukan sambo sejenis seni mempertahankan diri berasal dari Russia dan pertama kali dipertandingkan di Sukan SEA Filipina.

Sebastian berkata, diletak di bawah kategori B2, pihaknya menghantar dua atlet terbaik iaitu Mohd Fakhrul Izzat Afandi, 30, dan Noor Asnida Abd Razak, 25, mewakili negara dalam acara kombat sambo dan sport sambo.

Katanya, kedua-dua yang dipilih menerusi berdasarkan prestasi semasa masing-masing.

"Setakat ini, mereka yang terbaik. Fakhrul Izzat bersaing acara kombat sambo bawah 82 kilogram (kg) misalnya menang pingat emas Kejohanan Asia Tenggara di Bandung, Indonesia tahun ini selain menjuarai Super Siri Muay Thai Antarabangsa Johor dan Malaysian Invasion Mixed Martial Middleweight Champion.

"Noor Asnida yang juga penolong jurulatih judo Terengganu dan beraksi kategori bawah 80kg pula menang pingat perak Kejohanan Judo Kebangsaan 2019," katanya.

Beliau berkata, acara kombat sambo hampir sama dengan judo campuran (MMA) dengan pemenang ditentukan menerusi kiraan mata atau pukulan KO.

"Atlet kami berlatih berasingan, Noor Asnida di Terengganu dan Fakhrul Izzat di Johor," katanya. Mohd Fakhrul dan Noor Asnida masing-masing akan beraksi pada 5 dan 6 Disember depan dengan pesaing terkuat adalah atlet tuan rumah, Filipina dan Indonesia.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 12 Nov 2019