Dilema Kuzain punca pasport lewat siap

WAN Kuzain beraksi bersama Sporting Kansas City.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KELEWATAN penyediaan pasport Malaysia bagi membolehkan bekas pelatih bawah 17 tahun Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal beraksi pada Sukan SEA Manila hujung bulan ini dipercayai berpunca daripada dilema pemain itu untuk memilih kerakyatan.

Menurut sumber, isu itu disebabkan masalah kewarganegaraan di mana bintang Sporting Kansas City itu perlu memilih untuk memegang kerakyatan negara ini ataupun AS.

Katanya, Kuzain yang dilahirkan di Carbondale, Illinois pada 14 September 1998 mengakui mahu beraksi buat skuad kebangsaan yang juga negara kelahiran ibu bapanya, namun pada masa sama agak sukar untuknya mengorbankan taraf kerakyatan AS.

“Kelewatan permohonan pasport Malaysia untuk Kuzain bukan sebab pihak kita (pegawai Malaysia) lambat, tetapi masalah taraf kerakyatan.

“Dia rakyat AS dan untuk main mewakili Malaysia, Kuzain kena jadi rakyat negara ini. Walaupun ibu bapanya rakyat Malaysia, disebabkan sudah lama tak memperbaharui pasport sejak berusia enam tahun, dia bukan lagi rakyat negara ini.

“Kalau nak naturalisasikan dia pula, dia kena pulang bermain di sini selama lima tahun baru boleh mewakili negara ini. Apapun, keputusan tetap di tangan Kuzain dan pihak kita sentiasa menyokong dan membantunya,” kata sumber kepada Arena Metro.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan dan seseorang warganegara boleh dikenakan tindakan pelucutan sekiranya memiliki lebih daripada satu kerakyatan.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bapa Kuzain iaitu Dr Wan Kamal mengesahkan harapan untuk melihat anaknya beraksi buat skuad B-22 di temasya Sukan SEA di Filipina mungkin terkubur ekoran kegagalan mendapatkan pasport Malaysia.

Skuad negara dalam misi menebus kehampaan dua tahun lalu yang berlangsung di Kuala Lumpur apabila sekadar meraih pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand di perlawanan akhir.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 12 Nov 2019