Bola tampar pantai ada peluang raih pingat

SKUAD bola tampar pantai sedia kibar cabaran di Filipina. - FOTO Mohd Yusni Ariffin
Iskandar Shah Mohamed

iskandar@hmetro.com.my

SENTUHAN jurulatih dari Thailand menjadi bekalan terakhir kem bola tampar pantai kebangsaan untuk memberi cabaran sengit pada Sukan SEA Filipina, bulan depan. 

Kehadiran Thawip Thongkamnerd untuk membimbing skuad negara sejak September lalu diharap mampu menyaingi pasukan negara kelahirannya yang juga juara bertahan sukan itu.   Pengurus pasukan, Hean Boon Yeow mengakui pasukan negara Gajah Putih itu memiliki kelebihan  terutama faktor fizikal dan persiapan atlet mereka. 

"Namun, atlet negara turut diberi pendedahan dengan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa antaranya di India, Taiwan,  Singapura dan Filipina.  Berikutan itu, saya yakin skuad kita mampu memberi tentangan dan meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa bagi acara lelaki dan wanita di Subic nanti," katanya.  

Dalam pada itu, beliau turut yakin skuad disertai beberapa atlet bola tampar dalam dewan itu dapat menyesuaikan diri dengan sukan berkenaan.  

"Memang ada perbezaan terutama jumlah pemain iaitu hanya dua orang dan mereka juga perlu serasi dengan permainan di pasir pantai," katanya.  

Sementara itu, atlet wanita, Shu Woon Joo turut mengharapkan persiapan pasukan selama setahun dan bimbingan Thongkamnerd membantu menghadiahkan pingat terbaik buat negara.  Kelmarin, skuad bola tampar pantai mendapat suntikan semangat apabila dua gandingan lelaki dan wanita bagi kategori Terbuka menjuarai Kejohanan Bola Tampar Pantai National Series Singapura.  

Untuk rekod, kem negara kali terakhir meraih pingat menerusi gandingan Luk Teck Hua-Beh Shun Ting dengan membawa pulang gangsa pada Sukan SEA 2011 Indonesia.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 13 Nov 2019