Kim Swee gugur lima pemain

Kim Swee gugur lima pemain daripada kem latihan. FOTO NSTP
BERNAMA

LIMA pemain digugurkan daripada kem latihan pusat bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina.

Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee sebelum ini memanggil 29 pemain bagi menyertai kem latihan pusat yang bermula pada 4 November lalu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan media memaklumkan keputusan menggugurkan lima pemain berkenaan dibuat selepas aksi persahabatan menentang PJ City FC di Stadium Arena MPSJ, Subang Jaya, semalam.

Lima pemain itu terdiri daripada Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC), Amirul Ashraf Ariffin (Selangor), A Shivan Pillay (PKNS FC), Nik Azli Nik Alias (Kelantan) dan Haziq Subri (Perak).

Selain 24 pemain yang dikekalkan, pemain berusia bawah 22 tahun daripada skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menyertai skuad B-22 pada 20 Nov, sehari selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia.

Kim Swee hanya akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA pada 22 Nov, iaitu sehari sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Manila untuk menghadapi perlawanan pertama menentang Myanmar pada 25 Nov Stadium Memorial Rizal, Manila.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor-Leste manakala juara bertahan Thailand pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei di Stadium Binan.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember ini.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Shah Alam.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 16 Nov 2019