Wendy akur raih gangsa

WENDY mengakui gagal menyempurnakan terjunan keempat berikutan mengalami sedikit kecederaan di bahu dan belakang badannya. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PENERJUN negara, Wendy Ng terpaksa akur dengan kehebatan atlet China apabila meraih gangsa dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita pada Kejohanan Terjun Grand Prix FINA, malam ini.

   Dalam aksi final di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, atlet berusia 26 tahun itu menyempurnakan empat daripada lima terjunan dengan mengumpul 306.55 mata. 

Pingat emas dirangkul Huang Xiaohui yang mendominasi acara itu dengan kutipan 339.40 mata manakala gangsa menjadi milik rakan senegara, Lin Shan (330.90). 

Wendy mengakui gagal menyempurnakan terjunan keempat berikutan mengalami sedikit kecederaan di bahu dan belakang badannya. 

"Biarpun sekadar meraih gangsa, ia dianggap permulaan baik untuk saya mempersiapkan diri ke Sukan SEA Filipina dan Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

"Selain China, penerjun Jepun juga memberi cabaran sengit dan saya berpuas hati dengan pencapaian setakat ini," kata Olimpian kelahiran Kuala Lumpur itu.  

Kem negara setakat ini turut memperoleh satu emas menerusi Ooi Tze Liang bagi acara 3m papan anjal individu lelaki dan perak diraih gandingan Jellson Jabillin/ Hanis Nazirul Jaya Surya dalam 10m platform seirama lelaki. 

Kejohanan selama tiga hari sehingga esok itu menyaksikan penyertaan penerjun dari 12 negara termasuk China, Jepun, Russia, Perancis dan Australia. 

Untuk rekod, Wendy antara empat penerjun wanita negara yang melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020 selain Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri.

  Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu turut bakal menggalas cabaran kem terjun kebangsaan bersama tujuh atlet lain pada ke Filipina, bulan depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 16 Nov 2019