Azeem mudah raih emas 200m

AZEEM catat rekod baharu kejohanan dalam acara 200 meter. - FOTO Syarafiq Abd Samad
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PELARI remaja terpantas dunia 200 meter (m), Muhammad Azeem Mohd Fahmi menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka BJSS-Innotex, hari ini. 

Pada aksi final kategori bawah 16 tahun di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, jaguh kebangsaan itu tidak menghadapi masalah mengetepikan tujuh pelari lain. 

Azeem menamatkan saingan dengan turut memecahkan rekod kejohanan iaitu catatan 21.45s, manakala perak diraih Luqman Nurhakim Abdul Wahab (23.65s) dan gangsa milik Lian Yee Jun (24.47). 

"Biarpun tidak memperoleh catatan peribadi terbaik, saya berpuas hati kerana ia antara pencapaian terbaik tahun ini.   Acara 200m sememangnya kegemaran saya dan mahu mengekalkan prestasi untuk kejohanan penting lain tahun depan," kata atlet berusia 15 tahun itu. 

Semalam, Azeem yang terkenal dengan julukan 'Usain Bolt' Malaysia turut cemerlang merangkul emas acara 100m dengan memperoleh catatan terbaiknya musim ini, 10.57s sekali gus memecahkan rekod kejohanan itu. 

Untuk rekod, atlet kelahiran Perak itu dilabel selaku pelari remaja terpantas dunia bagi acara 200m bawah 16 tahun apabila mencatat 21.13s pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) di Khon Kaen, Ogos lalu. 

Kejohanan anjuran Innotex dengan kerjasama Eduport edisi ketiga itu disertai seramai 1,334 atlet dari seluruh negara termasuk wakil Thailand dan Singapura.  

Ia turut menjadi medan pemanas badan terakhir buat 26 atlet olahraga kebangsaan sebelum menyertai Sukan SEA Filipina, bulan depan. 

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 17 Nov 2019