Kuartet 4×100 catat masa terbaik

ZAIDATUL syukur kuartet 4x100m cipta catatan terbaik.- FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KUARTET 4×100 campuran kebangsaan ke Sukan SEA Filipina membuktikan kehebatan dengan memperoleh catatan terbaik mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka BJSS-Innotex, petang tadi. 

Pada aksi final di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, gandingan pelari Azreen Nabila Alias, Jonathan Nyepa, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nixson Kennedy itu meraih pingat emas dengan menewaskan tujuh kuartet lain. 

Mereka mencatat masa 42.53 saat (s) sekali gus memperbaiki rekod terdahulu, 43.91s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Perak All Comers, bulan lalu. 

Pingat perak acara itu pula diraih kuartet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dengan catatan 44.85s manakala gangsa milik Innotex (44.99s).  

Zaidatul Husniah mengakui gembira dengan pencapaian terbaik kuartet yang baharu dibentuk kem kejurulatihan negara itu.  

"Kami bersyukur dapat melakukan catatan masa 42.53s itu biarpun agak jarang menjalani latihan bersama.   Alhamdulilah, keserasian kami juga bertambah baik dan menjadi bekalan bermakna ke Filipina nanti," katanya. 

Kejohanan edisi ketiga berakhir hari ini menjadi medan pemanas badan terakhir buat 26 atlet kebangsaan sebelum menyertai Sukan SEA Filipina, bulan depan.   

Ia dianggap peluang kepada atlet olahraga menguji keupayaan dan memperbaiki kelemahan masing-masing sebelum bersaing merebut pingat di temasya dwitahunan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 17 Nov 2019