HANYA selangkah menyarung jersi kebangsaan. Mengharungi pelbagai cabaran termasuk menghadapi masalah pasport namun akhirnya bintang muda Malaysia yang berkelana di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dapat menjalani latihan bersama skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan untuk beraksi di Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.
Malah, Wan Kuzain berazam mempamerkan aksi terbaik seterusnya membantu pasukan negara memenangi perlawanan sebagai membalas jasa memberi kesempatan beraksi bersama skuad B-22.
Menurutnya, tiada perkara lebih membanggakan daripada dapat berbakti kepada negara malah sentiasa berhubung dengan pengendali B-22 Datuk Ong Kim Swee berkaitan perkara berkenaan.
“Beraksi di luar negara bukannya beri kelebihan untuk terpilih dalam senarai akhir pemain kerana tetap perlu mempamerkan aksi terbaik dengan berusaha memikat hati jurulatih.
“Satu penghormatan kepada diri sendiri dan keluarga dan seluruh negara apabila diberikan peluang untuk menyarung jersi kebangsaan.
“Ramai rakyat Malaysia mahu melihat saya beraksi namun apa yang boleh rumuskan adalah mahu mempamerkan aksi terbaik terutama bermain secara kompetitif untuk pasukan,” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-22, di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.
Sementara itu, Kim Swee berkata, kehadiran Wan Kuzain memberi banyak pilihan pemain di bahagian tengah untuk dibawa ke Filipina nanti.
“Menerusi pengalaman dimiliki Wan Kuzain sudah tentu bagus untuk pasukan bagi jangka masa pendek dan panjang. Sekarang ini, penting kepada Wan Kuzain membentuk keserasian bersama pemain lain bukan saja ketika latihan termasuk juga di luar padang.
“Sekarang ini, dia masih lagi baru dan banyak perkara perlu belajar namun perkara terbabit bukan masalah kerana Wan Kuzain akan menyesuaikan diri dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Kim Swee memaklumkan Wan Kuzain dapat menyelesaikan masalah pasportnya untuk mewakili skuad berkenaan pada saingan Sukan SEA Filipina 2019 yang bermula pada 25 November ini.
Kim Swee mendedahkan beliau tidak dapat memberi jaminan bahawa pemain kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu dapat beraksi dalam Sukan SEA 2019, namun difahamkan pemain berusia 21 tahun itu sedang berusaha menyelesaikan masalah pasportnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd