Bukan pengukur sebenar prestasi atlet

HAIQAL menjuarai acara 100 meter.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KEJOHANAN Olahraga Terbuka BJSS-Innotex hanya medan pemanas badan terakhir dan bukan pengukur sebenar prestasi atlet kebangsaan yang bakal beraksi di Sukan SEA Filipina, bulan depan. 

Perkara itu disuarakan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller selepas meneliti pencapaian keseluruhan atlet terutama pelari negara pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini MSN Bukit Jalil.

"Semua atlet termasuk pelari lelaki dan wanita dilihat masih berada pada landasan terbaik selain dilihat masih mampu merekodkan catatan masa lebih baik. 

"Sebagai contoh, kita tidak mahu mereka berlari pantas dalam kejohanan itu kerana Sukan SEA dianggap pentas utama yang lebih penting," kata jurulatih olahraga kelahiran Amerika Syarikat itu.    

Pada kejohanan selama tiga hari berakhir semalam, pelari pecut, Muhammad Haiqal Hanafi mencipta sensasi apabila meraih emas dengan menewaskan pencabar utama lain dalam acara 100 meter (m) termasuk Jonathan Nyepa dan pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan. 

Jaguh pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli turut menepati ramalan apabila merangkul emas dengan catatan 11.84s sekali gus memecahkan rekod kejohanan.  

Turut mencuri tumpuan, pelari remaja terpantas dunia 200m, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang bukan hanya meraih emas malah merakamkan rekod baharu kejohanan dan 100m bagi kategori bawah 16 tahun.  

Dalam pada itu, Miller ketika mengulas ketiadaan jaguh remaja itu dalam skuad Sukan SEA berkata, beliau mahu melihat Azeem terus cergas, sihat dan memberikan tumpuan dalam lariannya terlebih dulu. 

"Ia mungkin baik sekiranya atlet sudah mampu menyerap tekanan, namun saya lebih kepada mahu memberi ruang kepada mereka untuk berkembang secara berperingkat," katanya. 

Pada edisi Filipina kali ini, kem olahraga kebangsaan bakal mempertaruhkan seramai 49 atlet terbaik untuk bertanding merebut sebanyak mungkin pingat buat negara di New Clark City.   Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) turut optimis menyasarkan sekurang-kurangnya lima emas termasuk menerusi beberapa jaguh kebangsaan yang mahu mempertahankan kejuaraan dimiliki mereka pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 18 Nov 2019