Nak 'sapu' lebih emas

RACHEL (dua dari kiri) bersama gimnas yang akan galas cabaran negara di Filipina. FOTO Saifullizan Tamadi
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

BIARPUN dikategorikan sebagai sukan subjektif, gimnastik masih terus mendapat perhatian dan dilabel antara prospek utama pingat buat kontinjen negara pada setiap temasya Sukan Sea.

Harapan sama turut diletakkan Majlis Sukan Negara (MSN) kepada kem kebangsaan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya enam pingat emas pada edisi Filipina kali ini.

Cabaran Malaysia bagi gimnastik artistik dan gimnastik berirama itu digalas 18 atlet yang bakal menyertai 16 acara di Rizal Memorial Basketball Coliseum, Metro Manila, bermula 1 Disember depan.

Gimnas sandaran utama untuk membantu pungutan pingat antaranya Olimpian negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimrama berpengalaman, Amy Kwan Dict Weng.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau berkata, skuad negara kini dalam fasa akhir memperkemaskan persiapan atlet menerusi latihan intensif selama enam hari seminggu yang turut memfokuskan kepada membina keyakinan mereka.

“Segala persiapan berjalan lancar seperti dirancang dan senarai akhir gimnas turut sudah dimuktamadkan termasuk penyertaan atlet senior yang berpotensi meraih pingat.

“Kami yakin mampu mencapai sasaran enam emas berdasarkan prestasi positif gimnas yang sudah menyertai pelbagai kejohanan termasuk di luar negara. Ia masing-masing empat emas bagi gimrama, manakala dua lagi untuk gimnastik artistik,” katanya.

Menurut Rachel, kem gimnastik bakal berdepan saingan kuat dari Vietnam, Thailand dan Filipina.

“Selain Farah Ann yang sudah melayakkan diri ke Olimpik, gimnas dari tiga negara jiran itu mempunyai Olimpian mereka dan semestinya akan memberi tentangan sengit.

“Namun, kita turut mempunyai beberapa gimnas lain termasuk muka baharu yang mempunyai potensi untuk menjelmakan pingat,” katanya yang yakin skuad itu mampu meraih lebih daripada pingat yang disasarkan.

Pada edisi Kuala Lumpur 2017, skuad gimnastik artistik yang dibimbing, Ng Shu Wai dan Nataliya Sinkova menggondol empat pingat emas.

Namun, acara yang dipertandingkan di Filipina bukan acara yang didominasi skuad negara iaitu melombol, palang tidak sejajar, senaman lantai dan batang titian.

Manakala, kem gimrama turut optimis mampu meraih emas dalam semua acara yang disertai sama ada menerusi apparatus bola, reben, gelung, belantan dan tali.

Untuk rekod, skuad gimrama bimbingan Alisa Ajimirova sebelum ini menyapu bersih semua lapan pingat emas yang dipertandingkan di Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 19 Nov 2019