Perlu 'hadap' Thailand untuk hatrik emas

Abdul Halim umum saingan akan diadakan secara liga. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

IMPIAN untuk melakar emas acara regu buat kali ketiga berturut-turut semakin mencabar untuk skuad sepak takraw negara apabila seteru utama, Thailand sah beraksi pada saingan di Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Menerusi senarai negara mengikut acara yang dikeluarkan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Malaysia dan Thailand antara lima negara yang mengambil bahagian dalam acara regu.

Turut memberikan cabaran kepada anak buah Abdul Talib Ahmad adalah Vietnam, Filipina dan Singapura dalam saingan yang bakal dilangsungkan secara liga satu pusingan.

Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun apabila meraih emas pada 2015 di Singapura diikuti 2017 di Kuala Lumpur, bagaimanapun Thailand tidak mengambil bahagian pada kedua-dua edisi itu.

"Bagi acara yang mempunyai lima negara ke bawah, ia akan dijalankan secara liga satu pusingan dengan negara dikedudukan teratas akan muncul juara untuk meraih emas.

"Manakala yang melebihi enam negara, mereka akan dibahagikan kepada kumpulan. Undian empat acara lelaki dan dua bagi wanita akan dilangsungkan pada 29 November di Subic, Filipina.

"Kami menurut cadangan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (Philsgoc) untuk meneruskan acara yang hanya mempunyai tiga negara (hoop lelaki) walaupun syarat yang ditetapkan adalah minimum empat negara bagi acara tertentu," kata Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader.

Bagi acara berpasukan regu, Thailand mengetuai senarai selain Malaysia, Indonesia, Filipina dan Myanmar.

Jelas Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), aksi di Sukan SEA Filipina dijangka rancak dengan beberapa kejutan dijangka berlaku menerusi acara regu serta berpasukan regu dan pihak menyediakan pengadil terbaik bagi temasya dwitahunan itu.

"Malaysia akan mempunyai empat pengadil yang bertugas di Subic selain bekas orang kanan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Tengku Adnan Tengku Burhanuddin yang dilantik sebagai pengawai teknikal antarabangsa bagi membantu saya mengendalikan perjalanan di Sukan SEA nanti," tambahnya.

Sepak takraw dijadual berlangsung dari 1 hingga 10 Disember di Aguinaldo St Subic Bay Feeport Zone mempertandingkan empat acara lelaki dan dua wanita.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 19 Nov 2019