Kuzain tiada masalah sesuai diri

KUZAIN (tengah) ketika sesi latihan skuad Sukan SEA di Stadium Arena MPSJ, hari ini. — FOTO Hafiz Sohaimi
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

BIARPUN baru dua hari berlatih bersama skuad bawah 22 tahun (B-22), tahap profesionalisme dipamerkan pemain muda sedang meningkat di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal terserlah.

Malah sikap dipamerkan pemain Sporting Kansas City itu mendapat pujian pengendali B-22, Datuk Ong Kim Swee apabila mudah menyesuaikan diri dengan taktikal dan latihan diterapkan beliau.

“Hanya dua hari (berlatih), masih terlalu awal (untuk menilai). Namun dia (Wan Kuzain) menunjukkan persefahaman dan bekerjsama dengan pemain.

“Saya nampak tiada masalah untuknya bergaul dengan pemain lain baik dalam mahupun di luar padang.

“Dia seorang pemain profesional. Itu kelebihan dia yang tahu apa yang dilakukannya,” katanya ditemui pada sesi latihan skuad Sukan SEA di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya, hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan corak pemainan, semangat serta disiplin dipamerkan Wan Kuzain setakat ini, jurulatih berpengalaman itu berkata, perkara itu ‘masih terlalu awal’.

”Seperti saya katakan, dia baru tiba dari AS. Dengan jurang waktu dan cuaca berbeza, pastinya Wan Kuzain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri terutama cuaca di negara ini.

“Saya harap dalam beberapa hari ini dia kembali cergas dan memberikan yang terbaik dalam latihan.”

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 19 Nov 2019