Suntikan tambahan polio

Azim mahu pastikan setiap atlet dan pegawai mendapat suntikan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

SEMUA atlet dan pegawai yang akan ke Sukan SEA Filipina diwajibkan untuk mengambil satu lagi suntikan tambahan polio sebelum berlepas ke Filipina.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi berkata, badan induk itu menerima arahan daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) untuk berbuat demikian.

"Kita akan pastikan semua suntikan kepada atlet dan pegawai dibuat sebelum bertolak ke Filipina terutama bagi suntikan polio kerana kita menerima nasihat tentang kewujudan kes polio," katanya selepas Majlis Penajaan Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30 Filipina oleh Bata, hari ini.

Ditanya adakah suntikan berkenaan dilakukan kerana penyakit itu sudah menular di sana, Azim berkata ia hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami menerima surat daripada PHISGOC yang menyatakan kemungkinan akan berlaku wabak penyakit itu dan atas faktor itu mereka meminta semua diberikan suntikan," katanya.

Buat masa ini, 90 peratus daripada kontinjen negara terdiri daripada 774 atlet dan 340 pegawai sudah memperoleh suntikan demam campak, beguk dan rubela (MMR) selepas dinasihatkan penularan kes demam campak di Filipina.

Bata menyerahkan 1,200 pasang kasut yang dicipta khas bagi kontinjen negara ke Sukan SEA.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 20 Nov 2019