'Saya terlampau penat' - Safawi

SAFAWI. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan dan Firdaus Hashim
am@hmetro.com.my

“SAYA perlu berterima kasih kepada (Datuk) Ong Kim Swee sebab bagi saya rehat, tahun ini saya terlampau penat dengan jadual perlawanan yang padat,” kata Safawi Rasid.

Pemain sayap Harimau Malaya memberi reaksi itu ketika ditanya mengenai pengguguran namanya daripada skuad Sukan SEA Filipina yang akan bermula minggu depan.

Safawi berkata, dia tidak kesal namanya tidak berada dalam senarai pemain dengan alasan dirinya terlampau penat selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang musim ini.

“Tidak kesal, mungkin orang tahu tahun ini saya banyak perlawanan, kalau orang tahu main bola akan faham saya tiada rehat langsung tahun ini.

“Keputusan jurulatih (menggugurkan nama), memberi peluang kepada pemain baharu bawah 18 tahun kerana bagi saya ada lagi pemain yang bagus,” katanya.

Ditanya pengguguran namanya bakal mengecewakan peminat, Safawi enggan mengulas lanjut berhubung hal itu.

“Saya baru tahu (nama digugurkan) selepas tengok senarai nama pemain,” katanya.

Safawi disahkan tidak akan beraksi di Filipina selepas Kim Swee mengumumkan pada sesi latihan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.

Keputusan berkenaan sememangnya di luar jangkaan kerana pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu awal-awal lagi dicanang bakal memperkuatkan pasukan negara yang menyasarkan mara ke pentas final temasya dwitahunan itu.

Malah, Safawi juga sebelum ini adalah ketua pasukan skuad B-22 ketika mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Kuala Lumpur Mac lalu yang seharusnya kekal memimpin pasukan di Filipina.

Menurut Kim Swee, beliau memutuskan untuk menggugurkan nama Safawi atas kerelaan hati selepas pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menempuh jadual yang amat padat sepanjang musim ini.

Katanya, keputusan beliau tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi rehat buatnya yang sudah mengharungi berpuluh perlawanan sama ada bersama JDT (Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Liga Juara-Juara Asia) dan skuad kebangsaan (kelayakan AFC B-23, aksi persahabatan antarabangsa, kelayakan Piala Dunia).

“Satu keputusan yang amat berat dan sukar untuk saya lakukan tapi demi kebaikan Safawi yang mana kita tahu dia sudah bermain begitu banyak perlawanan dengan kelab dan mewakili negara, termasuk mewakili pasukan B-22 awal tahun ini.

“Jadi demi kebaikan semua saya terpaksa memutuskan untuk Safawi berehat yang mana kita mempunyai jadual amat penting tahun hadapan. Saya harap semua pihak harus faham dengan apa yang saya lakukan.

“Bukan saja untuk kepentingan diri saya tetapi untuk kepentingan kelab dan negara,” kata pengendali dari Melaka itu.

Kim Swee yang pernah menghadiahkan pingat emas Sukan SEA di Indonesia 2011 dan pingat perak pada edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur diletakkan dalam Kumpulan A di Filipina kali ini.

Skuad negara dijadual bertemu Myanmar pada aksi pertama Isnin ini sebelum turun menentang tuan rumah (29 November) disusuli Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).

Jelas Kim Swee lagi, ketiadaan Safawi bakal membuka ruang kepada pemain lain untuk merebut tempat dan percaya ketiadaan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) baru-baru ini mampu ditampung pemain lain.

“Ini membuka ruang kepada pemain lain... kalau Safawi berada dalam skuad mungkin peluang tertutup untuk satu atau dua pemain, tetapi dengan ketiadaan Safawi ini memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan dan mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama mahupun senarai terakhir 20 pemain,” katanya.

Selain itu, Kim Swee turut mengesah tonggak pertahanan tengah JDT, Adam Norazlin dipilih mengisi kuota pemain lebih berusia selepas seorang lagi pertahanan, Irfan Zakaria dipanggil sebelum ini.

Terdahulu, beberapa nama besar turut mewarnai skuad B-22 negara, termasuk bintang Sporting Kansas City di Liga Bolasepak Utama Amerika (MLS), Wan Kuzain Wan Kamal, penyerang prolifik B-18 yang akan beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk tahun depan, Luqman Hakim Shamsudin serta penyerang kelab Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 20 Nov 2019