Unjuran realistik [METROTV]

SYED Saddiq menyerahkan Jalur Gemilang kepada Megat Zulkarnain (kanan) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Bangi, semalam. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

KONTINJEN Malaysia menetapkan sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa pada Sukan Sea ke-30 di Filipina yang dijadualkan bermula 30 November ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, biarpun jumlah itu hanya separuh berbanding 145 emas yang diraih pada edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, sasaran kali ini dianggap realistik berdasarkan kajian terperinci terhadap prestasi atlet dan bakal pesaing mereka.

Katanya, sasaran 70 pingat emas itu dijangka mampu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-4 terbaik dalam kalangan 11 negara Asia Tenggara yang bertanding.

“Sekiranya tercapai, maka ia akan mengatasi pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di luar Kuala Lumpur iaitu Sukan Sea 2007 Korat, Thailand dengan 68 pingat emas. Kita jangka sukan olahraga, gimrama, memanah dan boling padang akan menjadi penyumbang utama kutipan emas negara.

“Sukan seperti E-sport dan sukan berhalangan juga mampu menyumbang pingat emas berdasarkan prestasi semasa atlet,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang sempena Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea 2019, semalam.

Hadir sama, timbalannya, Steven Sim Chee Keong dan ketua kontinjen Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menurut Syed Saddiq, kontinjen negara akan diwakili 773 atlet iaitu 447 lelaki, 326 wanita serta 339 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 52 jenis sukan.

“Daripada 773 atlet, seramai 396 tampil buat kali pertama di Sukan Sea. Selain itu, 322 atlet terpilih mewakili negara adalah berusia di bawah 21 tahun (tidak termasuk pemain bola sepak lelaki dan wanita).

“Atlet termuda adalah Adam Yoong Hanifah berusia 11 tahun dalam sukan ski air manakala atlet tertua, Ibrahim Amir berusia 57 tahun dalam sukan billiard & snuker,” katanya.

Pada majlis sama, atlet tenpin boling, Rafiq Ismail diumum sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan Sukan Sea di Manila nanti.

Simbolik penyerahan Jalur Gemilang diadakan antara Syed Saddiq kepada Megat Zulkarnain diikuti bacaan ikrar diketuai atlet taekwondo, Sara Yap Khim Wen.

Turut diadakan penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM1,678,285 kepada 16 penerima dengan sukan wushu menerima jumlah tertinggi, RM444,000 selepas meraih dua emas, lima perak dan satu gangsa di Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China, bulan lalu.

Tenpin boling menerima RM360,000 hasil enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa di Kejohanan Tenpin Boling Asia di Kuwait diikuti para olahraga (RM168,000) selepas meraih tiga perak dan satu gangsa di Kejohanan Dunia Para Olahraga Dubai 2019.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 22 Nov 2019