Selepas sisih Safawi, skuad B-22 hilang Wan Kuzain

AKSI Wan Kuzain menjalani latihan bersama skuad B-22 di Stadium Arena MPSJ.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

GARA-gara masalah dokumentasi, nama Wan Kuzain Wan Kamal gagal disenaraikan di dalam skuad B-22 yang akan beraksi di temasya Sukan Sea Manila, bermula minggu depan.

Senario itu sekali gus meleburkan impian pemain Sporting Kansas City di Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat itu untuk mewakili Malaysia.

Nama Wan Kuzain tiada dalam senarai akhir 20 pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini di dalam laman Facebook badan induk kebangsaan itu.

Menerusi hebahan berkenaan, tujuh daripada 20 pemain tersenarai adalah daripada skuad yang meraih pingat perak pada Sukan Sea 2017 iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin, Danial Amier Norhisham, Irfan Zakaria dan Syahmi Safari.

“Adam, 23, dan Irfan, 24, berada dalam skuad ke Sukan Sea 2019 di Filipina kali ini selaku pemain yang mengisi dua kuota pemain lebih umur.

“Bagaimanapun, pemain kelahiran Illinois, Amerika Syarikat (Wan Kuzain) tidak tersenarai kerana masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain,” kata FAM menerusi kenyataan media, hari ini.

Wan Kuzain tiba di negara ini hujung minggu lalu dan mula menjalani latihan bersama skuad B-22 selama tiga hari sebelum namanya digugurkan.

Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan A berdepan Myanmar pada Isnin depan diikuti perlawanan menentang tuan rumah, Filipina pada Jumaat, (29 November).

Selepas itu, baki dua lagi aksi peringkat kumpulan adalah bertemu Timor-Leste pada Isnin, 2 Disember dan Kemboja pada Rabu, 4 Disember. Semua empat perlawanan itu akan dilangsungkan di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Kumpulan B menampilkan juara bertahan, Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember 2019 manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan final dijadual berlangsung pada 10 Disember, sehari sebelum upacara penutup.

Ini temasya Sukan Sea kelima berturut-turut menyaksikan Malaysia dibimbing Datuk Ong Kim Swee selepas edisi 2011 di Indonesia, 2013 di Myanmar, 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 22 Nov 2019