Kuartet 4×100m fokus catatan terbaik 

KUARTET 4x100m negara hanya meraih tempat keempat di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KUARTET 4×100 meter (m) lelaki kebangsaan berazam memberi saingan sengit dengan merekod catatan masa terbaik sekali gus meraih pingat buat negara pada Sukan Sea Filipina, bulan depan. 

Cabaran itu bakal digalas barisan mantap pelari pecut, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan, Nixson Kennedy, Russel Alexander Taib Nasir Taib dan Luqmanul Hakim Khairul Akmal. 

Muhammad Haiqal mengakui enggan terlalu memikirkan mengenai pesaing negara lain dan hanya kekal fokus untuk melakukan larian terbaiknya. 

"Bagi saya, apa yang penting membentuk keserasian dalam pasukan terutama ketika melakukan pertukaran baton.   InsyaAllah kami akan berusaha melakukan sebaik mungkin untuk meraih pingat di Filipina nanti," kata pelari berusia 20 tahun kelahiran Negeri Sembilan itu. 

Sementara itu, Khairul Hafiz yang terlepas peluang menyertai acara berkenaan akibat kecederaan pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 berharap dapat memecahkan rekod kebangsaan pada temasya dwitahunan terbabit. 

"Apa yang penting memberi cabaran kepada semua pesaing dan jika memperoleh pingat, ia bonus berharga buat kami," katanya yang dikenali dengan julukan The Speedy Jantan itu.   Pada edisi di Kuala Lumpur, kuartet negara yang dibarisi gandingan Muhammad Haiqal, Jonathan Nyepa, Nixson dan Badrul Hisyam Abdul Manap menduduki tempat keempat namun berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.27 saat. 

Pingat emas acara itu dimenangi kuartet Thailand yang mencipta rekod baharu kejohanan iaitu 38.90s, manakala perak diraih Indonesia (39.05s) dan gangsa menjadi milik Filipina (39.11s).  Seramai 49 atlet olahraga kebangsaan bakal menggalas cabaran merebut sebanyak mungkin pingat buat kontinjen negara di Stadium New Clark City bermula 6 Disember depan.  

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 23 Nov 2019