Nafi tumpang populariti Wan Kuzain

WAN Kuzain.
Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan mahu menumpang populariti Wan Kuzain Wan Kamal dengan memberinya harapan palsu untuk menyarung jersi kebangsaan di Sukan Sea Filipina.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kehadiran Wan Kuzain yang menjalani latihan bersama Skuad Bawah 22 Tahun adalah atas kerelaan hati pemain itu sendiri.

“Kami pernah memaklumkan kepadanya bahawa jika dia ingin bermain di Sukan Sea, dia perlu datang sendiri ke Malaysia untuk menyelesaikan segala perkara berkaitan dokumentasi.

“Namun, ada beberapa prosedur yang memakan masa, sekali gus mengakibatkan kami tidak sempat menyelesaikannya sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain ke Sukan Sea,” katanya.

“FAM tidak pernah mengambil kesempatan atau memberi harapan palsu kepadanya cuma isu dokumentasi tidak boleh diselesaikan jika dia berada di Amerika Syarikat.”

Semalam, masalah dokumentasi menyebabkan hasrat Wan Kuzain yang berkelana di Amerika Syarikat bersama kelab Sporting Kansas City itu untuk mewakili Malaysia pada Sukan Sea Filipina lebur dan namanya tidak disenaraikan antara 20 pemain yang diumumkan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai desas-desus Wan Kuzain enggan melepaskan kerakyatan Amerika Syarikat hingga menyebabkan dia gagal menyelesaikan isu dokumentasi, Stuart menjelaskan perkara terbabit perlu dirujuk kepada pemain itu sendiri.

“Perkara terbabit seharusnya ditanya kepada Wan Kuzain, namun bagi FAM, kami sentiasa menyokong segala tindakan dan perancangan dia demi masa depan kariernya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 23 Nov 2019