Mahu kekal dominasi!

ZURAIDI (dua dari kiri) yakin pemainnya bawa pulang lima daripada enam emas yang dipertandingkan. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

TERUSKAN dominasi di Asia Tenggara. Itu misi besar skuad boling padang negara apabila turun beraksi di Sukan Sea Filipina, hujung bulan ini.

Ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh berharap anak buahnya terus mempamerkan taring seperti dua tahun lalu di Kuala Lumpur apabila mereka meraih tujuh daripada lapan emas yang dipertandingkan.

Kali ini, Zuraidi mahu mereka membawa pulang lima daripada enam emas yang dipertandingkan bagi meneruskan catatan selaku jaguh di pentas Asia Tenggara.

“Persiapan berjalan lancar walaupun terdapat perubahan gelanggang pertandingan dengan tuan rumah menukar kepada penggunaan gelanggang rumput. Sebelum ini mereka mahu menggunakan padang sintetik.

“Kami sudah menjalani latihan dan menggunakan venue berbeza di Bukit Kiara, Sepang dan Port Dickson bagi membolehkan atlet negara menyesuaikan diri apabila berada di Clark City nanti,” jelas Zuraidi.

Tambahnya, kem bina semangat yang dilaksanakan di Port Dickson baru-baru ini bertujuan menguatkan dan membantu atlet menangani sebarang dugaan semasa di Sukan Sea.

“Atlet sudah dipersiapkan dengan pelbagai pengisian kerohanian, mental dan sebagainya untuk ke sana. Mereka sedar kami mahu menjadi penyumbang emas terbesar kepada kontinjen negara,” tambahnya.

Skuad boling padang menyenaraikan 12 atlet berkaliber untuk memastikan misi berjaya dicapai seperti Fairul Izwan Abd Muin, Muhammad Soufi Rusli, Siti Zalina Ahmad, Zuraini Khalid, Azlina Arshad dan Emma Firyana Saroji.

Dua tahun lalu di Kuala Lumpur, boling padang mempertandingkan lapan acara dengan Malaysia cemerlang meraih tujuh emas sambil Filipina meraih satu emas menerusi acara berempat lelaki.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 24 Nov 2019