'Nak raih lebih banyak emas'

SKUAD petanque negara giat berlatih di MSN Keramat.
HM Digital

SKUAD petanque negara hanya disasarkan membawa pulang sebutir emas dari empat acara dipertandingkan di Sukan Sea Filipina.

Namun jurulatih negara, Zanilisa Mohamed mengimpikan lebih daripada satu kilauan emas mampu diterjemahkan anak buahnya apabila turun bersaing nanti.

Sandaran utama terarah kepada tiga atlet lelaki, Muhamad Hafizuddin Mat Daud serta Saiful Bahri Musmin dan Syed Akmal Fikri Syed Ali yang meraih emas dua tahun lalu menerusi acara perseorangan dan beregu.

Bagaimanapun, Zanilisa berharap dua lagi acara mampu melakar kejutan menerusi acara bertiga wanita dan beregu lelaki walaupun sedar saingan sengit bakal dihadirkan negara lain terutamanya Thailand.

“Bagi acara bertiga lelaki, atlet sudah sedar bahawa mereka adalah sandaran utama, sama untuk acara bertiga wanita dengan saya melihat mereka turut mampu menyumbang emas. Bagi beregu lelaki, mereka perlu mengatasi perasaan takut dalam gelanggang. Jika ia boleh dilakukan, kejutan mungkin berlaku kerana mereka adalah pemain berpengalaman,” jelasnya.

Tambahnya, beliau yakin dengan kemampuan atlet negara dengan kebanyakannya sudah dibimbing sejak 2012 walaupun hanya kembali bersama sejak September lalu.

Petanque seolah-olah beraksi di gelanggang berkecuali dengan Filipina bukanlah negara yang kuat dalam sukan berkenaan sekali gus memberi peluang yang seimbang kepada semua peserta.

Malaysia menggabungkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Muhamad Hafizuddin, Saiful Bahri dan Syed Akmal untuk memastikan sekurang-kurangnya sebutir emas mampu dicapai.

“Saya difahamkan, pencabar utama, Thailand tidak memberikan penekanan kepada acara bertiga kerana mereka lebih menumpukan perhatian kepada acara beregu,” tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 24 Nov 2019