Drop Shot: Jangan 'tewas' sebelum berjuang

Datuk Seri Jalani Sidek

TEKA-TEKI mengenai sasaran yang diletakkan ke atas kontinjen negara ke temasya Sukan Sea Filipina akhirnya terjawab selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkannya, baru-baru ini.

Sebanyak 70 pingat emas, 51 perak, 105 gangsa menjadi angka yang wajar dicari atlet dan bagi saya, ia agak realistik dan selamat, sekali gus tidak memberi tekanan kepada wakil negara.

Namun, saya percaya sasaran itu mampu diatasi jika mengambil kira jumlah kontinjen kali ini adalah yang paling ramai untuk temasya di luar Kuala Lumpur.

Saya yakin masih ada beberapa lagi acara yang mampu melakar kejutan, sekali gus menambah jumlah pingat khususnya emas.

Beberapa pihak seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) pastinya sudah mengenalpasti altet yang dirasakan mampu untuk memungut emas.

Namun, seperti saya katakan tadi, untuk melihat kontinjen negara meraih lebih banyak emas bukanlah sesuatu yang mustahil.

Di medan Sukan Sea inilah setiap atlet seharusnya mempamerkan semangat juang tinggi untuk cuba meraih sebanyak mungkin pingat. Begitulah juga harapan saya kepada pasukan badminton negara.

Meskipun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya mensasarkan satu emas, mereka seharusnya mempunyai semangat untuk cuba menambah sasaran itu.

Memanglah pasukan seperti Indonesia dan Thailand akan menjadi penghalang utama, tetapi janganlah awal-awal lagi kita sudah putus asa.

Tidak salah untuk berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik. Sekali lagi kepada semua kontinjen negara, buru pingat emas sebanyak mungkin. Malaysia boleh!

Jumpa lagi.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 24 Nov 2019