'Jaga disiplin'

ONG Kim Swee. FOTO Football Association of Malaysia (FAM)
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

WALAUPUN memiliki gandingan mantap hasil gabungan muka baharu dan lama, jurulatih Skuad Bawah 22 Tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee tetap enggan menarik nafas lega bagi mengharungi saingan Sukan Sea Filipina yang bermula esok.

Kim Swee berkata, walaupun rata-rata pemain sudah lama bermain di bawah kendaliannya, namun ia bukan tiket untuk mereka mara mudah sebaliknya tahap disiplin perlu dikekalkan bagi memastikan perlawanan pertama menentang Myanmar menghasilkan keputusan positif.

Beliau berkata, tempoh latihan yang pendek menyebabkan beliau perlu menggunakan khidmat beberapa pemain yang sudah lama bersamanya bagi membentuk keserasian dan persefahaman.

“Melihat kepada situasi semasa jurang latihan yang singkat menyebabkan barisan kejurulatihan perlu menggunakan kombinasi pemain yang pernah bersama kami sebelum ini.

“Penting untuk kami mencatat keputusan positif pada perlawanan pertama bagi menghidupkan peluang mengatasi lawan seterusnya. Walaupun pemain belum berada pada tahap memuaskan, tapi saya percaya mereka akan bertambah baik terutama ketika menentang Timor Leste dan Filipina nanti,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Filipina di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA 2), semalam.

Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan A berdepan Myanmar esok diikuti perlawanan menentang tuan rumah, Filipina pada Jumaat, (29 November).

Selepas itu, baki dua lagi aksi peringkat kumpulan adalah bertemu Timor-Leste pada 2 Disember dan Kemboja, dua hari kemudian.

Semua empat perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Kumpulan B pula menampilkan juara bertahan, Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan final dijadual berlangsung pada 10 Disember.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 24 Nov 2019