Wan Kuzain terkilan gagal bantu B-22

AKSI Wan Kuzain ketika menjalani latihan bersama skuad B-22.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

“Saya terkilan kerana tidak dapat mewakili Malaysia."

Demikian luahan pemain berdarah Malaysia kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal yang digugurkan pada saat akhir daripada skuad bawah 22 (B-22) tahun negara ke temasya Sukan Sea di Filipina bermula esok.

Kuzain, 21, yang beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) bersama Sporting Kansas City mengakui faktor dokumentasi menyebabkan dia tidak dapat disenaraikan dalam skuad 20 terakhir ke Filipina.

“Terkilan kerana tidak dapat mewakili Malaysia dalam temasya Sukan Sea 2019. Saya berharap semua berjalan lancar untuk saya mengambil bahagian. Namun perkara itu tidak menjadi kenyataan buat masa ini.

"Apapun, selamat maju jaya kepada pasukan (Malaysia) di Filipina nanti,” kata Kuzain yang meluahkannya di akaun Twitter miliknya hari ini.

Pada Jumaat lalu, pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee terpaksa melupakan khidmat Kuzain yang sanggup menempuh perjalanan jauh untuk menjalani latihan bermula 18 November lalu.

Bagaimanapun, kegagalan mendapatkan pasport Malaysia dalam tempoh terdekat menyaksikan nama Kuzain terpaksa disisihkan daripada pasukan.

Pada saingan Sukan Sea di Filipina, skuad negara akan membuka tirai Kumpulan A berdepan Myanmar esok diikuti perlawanan menentang tuan rumah, Filipina.

Selepas itu, baki dua lagi aksi peringkat kumpulan adalah bertemu Timor-Leste pada 2 Disember dan Kemboja dua hari kemudian.

Kesemua perlawanan berkenaan di Stadium Memorial Rizal, Manila.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 24 Nov 2019