Misi penting B-22

SKUAD B-22 negara menjalani latihan menjelang aksi menentang Myanmar di Manila, semalam.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SASARAN layak ke final sekali gus merebut pingat emas pada saingan Sukan Sea di Filipina adalah misi wajib buat skuad bola sepak Malaysia kali ini.

Selepas berputih mata pada temasya dua tahun lalu apabila tewas tipis 0-1 di tangan Thailand dalam aksi final di Stadium Shah Alam, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kini berpeluang untuk menebus kegagalan itu.

Dengan dibarisi pemain berkaliber yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia serta kelab luar negara seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak (liga Jepun) dan Quentin Cheng (liga Australia), hasrat untuk meraih ibu segala pingat bukanlah satu perkara mustahil.

Malah, Kim Swee sendiri turut yakin anak buahnya mampu melakar kejutan ketika Thailand, Vietnam dan Filipina bakal menjadi pilihan untuk ke final.

“Saya percaya dengan pemain sedia ada serta yang terbabit dengan skuad kebangsaan. Kami boleh beri cabaran dan saingan bagi mendapatkan keputusan positif,” katanya.

Laluan yang dirintis skuad muda negara itu juga cerah selepas diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Filipina, Timor Leste, Myanmar dan Kemboja, sekali gus mencerahkan harapan mara ke separuh akhir.

Sementara juara bertahan Thailand pula berada dalam Kumpulan B yang dilabel kumpulan maut pada temasya kali ini.

Selain skuad Gajah Perang, lima lagi pasukan turut menghangatkan saingan terdiri daripada Vietnam, Indonesia, Singapura, Laos dan Brunei.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember, manakala aksi penentuan pingat gangsa dan final berlangsung pada 10 Disember, sehari sebelum upacara penutup temasya edisi ke-30 itu.

Ini adalah temasya Sukan Sea kelima berturut-turut buat Kim Swee selepas edisi 2011 di Indonesia berjaya meraih pingat emas.

Bagaimanapun, dua saingan berikutnya di Myanmar 2013 dan Singapura 2015, skuad negara gagal melangkah ke final.

Dua tahun lalu di gelanggang sendiri pula, anak didik Kim Swee hampir meraih pingat emas sebelum dikecewakan dengan jaringan sendiri penjaga gol, Haziq Nadzli untuk tewas 0-1 kepada Thailand di final.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 25 Nov 2019