Potensi sapu semua emas

CHRISTIAN Brooker
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PADA Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, sukan akuatik paling menyerlah apabila menghadiahkan keseluruhan 20 pingat emas buat kontinjen negara.

Ia merangkumi acara renang, renang terbuka, renang berirama, terjun dan polo air yang turut membutirkan 11 perak dan lima gangsa pada temasya itu.

Namun, keadaan berbeza pada edisi Filipina bulan depan terutama bagi acara terjun berikutan tuan rumah hanya menawarkan empat emas berbanding 13 yang dimenangi kem kebangsaan sebelum ini.

Skuad renang juga tidak mahu meletakkan harapan tinggi dengan sekadar mahu mengekalkan kutipan tiga emas menerusi 15 atlet yang bertanding terutama menerusi sandaran utama, Welson Sim.

Jurulatih terjun negara, Christian Brooker berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi barisan lapan atlet termasuk Olimpian, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri yang dilihat menunjukkan peningkatan menerusi beberapa kejohanan terutama siri Grand Prix Fina.

“Selain menjuarai kejohanan, mereka sentiasa berusaha meningkatkan kualiti terjunan masing-masing biarpun aspek teknikal terutama dalam acara papan anjal seirama yang dilihat masih perlu diperbaiki.

“Namun, saya kekal yakin semua atlet kita berpotensi tinggi untuk meraih semua empat emas yang dipertandingkan di Filipina nanti,” katanya.

Menurut jurulatih dari Australia itu, skuad bimbingannya juga sedia berdepan tentangan Singapura dan Indonesia yang dianggap pesaing kuat pada temasya dwitahunan berkenaan.

Sementara itu, pengurus pasukan renang kebangsaan, Liee Yien Yee berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran, namun komited berusaha untuk kekal meraih emas yang dimenangi pada edisi terdahulu.

“Selain Welson yang juga pemenang dua emas, kami percaya barisan perenang muda lain berpotensi meraih pingat buat kem negara dengan mempamerkan aksi cemerlang.

“Walaupun semua pasukan hanya diberi kebenaran menjalani latihan sehari sebelum bertanding, saya percaya atlet bimbingan jurulatih Chris Martin sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi cabaran sengit di Clark,” katanya.

Acara renang dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 4 Disember manakala terjun pada 2 dan 6 bulan sama di Pusat Akuatik New Clark City.

Dalam pada itu, acara renang terbuka berlangsung di Subic manakala polo air yang disertai 12 pemain kategori lelaki memulakan saingan kumpulan pada 26 November ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 25 Nov 2019