Tze Liang cabar diri

TZE Liang anggap pesaing adalah dirinya sendiri.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PENERJUN kebangsaan, Ooi Tze Liang menganggap pesaing sebenar pada Sukan Sea Filipina adalah dirinya sendiri terutama dalam usaha mengekalkan momentum prestasi terbaiknya setakat ini.

Pemenang dua pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu tidak mahu terlalu fokus soal mempertahankan kejuaraan namun lebih kepada memperbaiki terjunannya.

"Saya cuma mahu terus konsisten bersandarkan rutin latihan harian dan kejayaan menerusi beberapa kejohanan yang disertai sebelum ini.

"Jika ditanya siapa pencabar utama di Filipina, ia semestinya diri saya sendiri dan segala tekanan perlu diserap sebaik mungkin untuk kekal meraih pingat nanti," kata atlet berusia 25 tahun itu.

Dalam pada itu, Tze Liang berharap dapat mengekalkan prestasi terbaiknya dalam semua acara sama ada kategori individu mahupun seirama bersama gandingannya bulan depan.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian setakat ini dan mahu terus melakukan yang terbaik untuk kem terjun negara," katanya.

Minggu lalu, Tze Liang menghadiahkan dua pingat emas buat negara menerusi acara 3m papan anjal individu dan papan anjal seirama bersama gandingannya, Chew Yiwei pada Kejohanan Terjun Grand Prix FINA Kuala Lumpur.

Untuk rekod, pada temasya KL2017, atlet kelahiran Pulau Pinang itu beraksi cemerlang dengan memungut dua emas dan satu perak dalam papan anjal serta 10m platform lelaki.

Tze Liang antara lapan atlet yang bakal menggalas cabaran skuad terjun kebangsaan untuk merebut empat emas yang dipertandingkan di Pusat Akuatik New Clark City bermula 6 Disember depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 25 Nov 2019