Harimau bangkit ikat Myanmar [METROTV]

HADI Fayyadh (kanan) meraikan gol penyamaan bersama Akhyar Rashid (tengah) dan Lukman Hakim pada aksi kumpulan A Bola Sepak Sukan SEA Filipina 2019 di Stadium Memorial Rizal. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SKUAD Bawah 22 (B-22) tahun negara terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Myanmar 1-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A Sukan Sea 2019 di Stadium Memorial Rizal, di sini, hari ini.

Sekurang-kurangnya keputusan seri itu melegakan kem negara namun terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki segera menjelang aksi kedua menentang tuan rumah Filipina pada Jumaat ini sekiranya berhasrat untuk melangkah ke pusingan separuh akhir.

Antara kelemahan ketara adalah masalah persefahaman yang masih longgar dengan Myanmar hampir menewaskan skuad negara.

Dalam aksi itu, pengendali pasukan Datuk Ong Kim Swee membuat pertaruhan berani apabila menyenaraikan dua pemain B-18 iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Umar Hakeem Suhar Rezwan dalam kesebelasan utama.

Malaysia yang muncul naib juara edisi lalu dikejutkan jaringan awal pasukan Myanmar hasil tandukan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13 apabila bijak menyambut sepakan sudut Hlaing Bo Bo.

Tiga minit kemudian skuad kendalian Velizar Popov nyaris menambah gol kedua namun percubaan Khant Myat Kaung ditepis penjaga gol negara, Haziq Nadzli sebelum dikeluarkan Dominic buat menghampakan lawan.

Walaupun ketinggalan 0-1, skuad negara yang diperkuatkan dengan tujuh tonggak daripada skuad senior tidak cepat mengelabah apabila berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan di minit ke-24.

Ia hasil gerakan serangan balas yang diilhamkan Akhyar Rashid yang melambungkan bola tepat menuju ke kepala penyerang Hadi Fayyadh Abd Razak buat mengikat kedudukan.

Bagi menambah sengat di jentera depan, Kim Swee melakukan perubahan di babak kedua dengan memasukkan pemain Pahang, Faizal Halim dan mengeluarkan Luqman.

Ketua pasukan Adam Norazlin hampir meletakkan skuad negara di depan namun sepakan percumanya sekadar singgah tiang gol di minit ke-64.

Hadi yang beraksi di Liga Jepun bersama Fagiano Okayama sekali lagi berpeluang mencetak gol tetapi tandukan kebelakangnya sedikit melewati palang di hujung permainan buat kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati meraih satu mata.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 25 Nov 2019