Hanya 47 ke Filipina

MOHD Manshahar
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) memuktamadkan hanya 47 atlet olahraga bakal menggalas cabaran untuk merebut pingat buat kontinjen negara pada Sukan Sea Filipina, bulan depan. 

Jumlah itu berkurangan berbanding senarai akhir sebelum ini berikutan ketiadaan pengganti bagi dua atlet yang digugurkan pada saat akhir akibat faktor kecederaan.  

Mereka adalah pelari pecut negara, Muhammad Zulfiqar Ismail dan pelari maraton, Tan Huong Leong yang masing-masing cedera pada hamstring kaki kiri serta tumit. 

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, perkara itu diputuskan semua pihak termasuk KOM dan Institut Sukan Negara (ISN) selepas mengambil kira faktor kecederaan atlet berkenaan.     

"Sebelum ini, kami sememangnya sudah menyenaraikan keseluruhan 49 atlet yang berkelayakan untuk bertanding di Filipina.    

"Namun, hasil perbincangan bersama semua pihak bersetuju menggugurkan Zulfiqar dan Huong Leong selepas meneliti nasihat doktor serta mengelak risiko lain. Setakat ini, jumlah atlet kekal 47 orang dan tiada pengganti lain," katanya kepada Arena Metro. 

Kata Mohd Manshahar, keadaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan persiapan skuad bimbingannya yang dijadualkan berangkat bermula 3 Disember depan. 

Berdasarkan senarai KOM, Muhammad Zulfiqar sepatutnya mengambil bahagian dalam acara riben biru iaitu 100 meter (m) dan 4x100m lelaki, manakala Huong Leong bergandingan dengan Muhaizar Mohamad bagi marathon.  

Pada edisi kali ini, kem olahraga kebangsaan optimis mampu mencapai sasaran kutipan enam pingat emas dalam 47 acara yang dipertandingkan di New Clark City, bermula 6 Disember depan.  

Untuk rekod, pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Malaysia memperbaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 25 Nov 2019