Kim Swee akur kongsi mata

ONG Kim Swee

“INI lebih baik (satu mata) daripada langsung tak dapat mata,” kata pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya mengikat Myanmar 1-1 dalam aksi sulung Kumpulan A bola sepak Sukan SEA, semalam.

Jelas Kim Swee, meskipun gagal melakar kemenangan yang diidamkan di Stadium Memorial Rizal, di sini, beliau tetap memuji persembahan pemainnya.

Katanya, aksi sulung biasanya menjanjikan saingan sengit dengan masing-masing sudah tentuya masih mencari rentak menyesuaikan diri beraksi di atas padang tiruan itu.

“Perlawanan pertama sememangnya bukan mudah apatah lagi pemain sudah lama tidak bermain. Ini adalah satu mata berharga dan kita tahu selepas ini kita akan menghadapi tiga perlawanan yang pastinya bukan mudah,” katanya yang sudah mengharungi empat temasya Sukan SEA dengan di Filipina adalah kelima buatnya sebagai jurulatih.

Malah, jurulatih berpengalaman berusia 49 tahun dari Melaka itu turut memenangi pingat emas di Sukan SEA Indonesia pada 2011 dan pingat perak di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau mengakui anak didiknya bermula agak perlahan hingga dihukum dengan gol pertama oleh Kyaw Soe Moe sebelum Hadi Fayyadh Abd Razak menyamakan kedudukan.

“Kalau lihat dari segi persembahan terutama di babak pertama kita masih lagi gagal mengawal permainan dengan baik. Namun separuh masa kedua kita bertambah baik dan nampak ada perkara positif.

“Walaupun hadapi kesukaran untuk menggerakkan bola di separuh masa pertama, separuh masa kedua kita ada peluang lebih baik berbanding Myanmar,” katanya .

Sementara itu, jurulatih Myanmar, Velizar Popov beranggapan skuad kendaliannya seharusnya mampu memenangi aksi bertemu Malaysia seandainya barisan pemain lebih fokus sepanjang 90 minit.

Popov yang pernah mengemudi Kelantan pada 2016 mengakui, Malaysia bermain baik, namun baginya Myanmar lebih mengancam.

“Saya rasa ia keputusan positif dan Malaysia sebuah pasukan fantastik. Tapi kami berpeluang cerah meraih kemenangan selepas mendahului, namun tidak menggunakan kelebihan itu sebaik-baiknya.

“Apapun, saya berpuas hati dengan persembahan pemain yang mengikut taktikal diarahkan dengan baik sekali,” katanya.

Myanmar akan berdepan Filipina petang ini, manakala skuad negara hanya akan turun beraksi Jumaat ini juga menentang tuan rumah.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 26 Nov 2019