Tak ada rezeki...

HADI (kanan) meraikan gol penyamaan berama Akhyar (tengah) dan Lukman Hakim pada perlawanan peringkat kumpulan A bola sepak Sukan SEA Philippina 2019 di Stadium Memorial Rizal.

PENYERANG skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Hadi Fayyadh Abd Razak mengakui kecewa gagal membantu pasukan meraih kemenangan biarpun tandukannya berjaya mengikat Myanmar 1-1 di Stadium Memorial Rizal, di sini, semalam.

Jelas pemain yang berpangkalan di Liga Jepun bersama kelab Fagiano Okayama itu, skuad negara seharusnya mampu mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Kumpulan A saingan Sukan SEA itu.

“Saya rasa bersyukur dan Alhamdulillah dapat jaringkan satu gol hari ini (semalam) dan saya nak ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih kerana sudah memberi 100 peratus untuk aksi pertama ini.

“Tapi pada masa sama saya kecewa kerana tak dapat tiga mata walaupun kita sebenarnya banyak cipta gerakan. Terus terang saya kecewa tak dapat tiga mata,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi semalam.

Dalam aksi itu, Hadi yang beraksi di bahagian serangan dengan disokong penyerang skuad B-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin dan tonggak sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid di belakangnya agak sukar menembusi benteng pertahanan Myanmar.

Sebaliknya kubu negara terlebih dahulu dibocori menerusi tandukan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13 selepas bijak menyambut sepakan sudut rakan sepasukan Hlaing Bo Bo.

Walaupun ketinggalan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tidak cepat menggelabah apabila bangkit untuk menyamakan kedudukan di minit ke-24.

Ia hasil gerakan serangan balas yang diilhamkan Akhyar yang melambungkan bola tepat menuju ke kepala Hadi buat mengikat kedudukan.

Selepas gol itu, Hadi turut berpeluang menambah jaringan, namun dua percubaannya sekadar singgah palang dan tiang gol.

“Sebagai penyerang, kena palang dan tiang mungkin bukan rezeki saya untuk menjaringkan lebih daripada satu gol.

“Tapi saya janji akan usaha lebih untuk dapatkan gol sebanyak mungkin dan paling penting bagi saya ialah nakkan kemenangan. Saya harap kita dapat perbaiki lagi kelemahan kita dan jadi lebih baik,” kata bekas pemain JDT II itu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 26 Nov 2019