Memalukan!

PROSES mengecat masih dilakukan biarpun pembukan Sukan SEA akan berlangsung Sabtu ini.

KEMUDAHAN sukan bersawang, masalah pertukaran venue di saat akhir, venue perlawanan yang masih dan sedang diseleggara serta masalah logistik dan kemudahan internat antara kelemahan ketara penganjuran Sukan SEA 2019 di Filipina.

Tinjauan Arena Metro sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Manila kelmarin, mendapati tuan rumah dilihat masih belum bersedia menyambut kehadiran 10,000 atlet dan pegawai dari 10 negara bagi menyertai temasya dwitahunan kali ke-30 itu.

Walaupun upacara pembukaan Sukan SEA hanya akan berlangsung pada Sabtu ini, beberapa acara membabitkan sukan berpasukan seperti bola sepak, floorball, bola jaring dan polo sudah pun bermula sejak kelmarin.

Begitupun, harapan untuk melihat penganjuran kali ini berjalan lancar ternyata meleset apabila penganjur iaitu Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Tenggara Filipina (PHISGOC) dikritik hebat daripada beberapa pasukan bertanding.

Misalnya skuad bola sepak Kemboja, Timor Leste dan Thailand tidak mendapat layanan terbaik dengan pasukan Timor Leste terpaksa menunggu hampir dua jam di lapangan terbang sebelum mereka dibawa ke hotel yang salah oleh pemandu bas.

Malah, pemain Kemboja pula terpaksa tidur di lapangan terbang hampir lapan jam untuk menunggu bas manakala latihan pasukan Thailand pula dibatalkan ekoran jarak hotel yang disediakan PHISGOC sangat jauh.

Masalah logistik itu kemudiannya diburukkan lagi dengan persiapan venue perlawanan yang masih belum siap sepenuhnya.

Contohnya, lima jam sebelum sepak mula acara bola sepak lelaki membabitkan Malaysia dan Myanmar di Stadium Memorial Rizal semalam, venue itu masih lagi sedang dibaik pulih di luar mahupun dalam stadium.

Senario sama juga dilihat berlaku di Gimnasium Universiti Filipina yang juga lokasi acara floorball. Venue itu dilihat begitu usang dan daif.

Tiang bumbung dalaman yang berkarat serta bersawang langsung tidak menggambarkan keterujaan tuan rumah untuk menganjurkan sukan terbesar rantau ini.

Meskipun kelmarin PHISGOC memohon maaf dan memberi penerangan lanjut mengenai isu berbangkit, namun ia membuktikan Filipina sebenarnya belum bersedia untuk menganjurkan saingan itu.

Diharapkan, berbaki empat hari sebelum temasya dibuka secara rasminya, pihak penganjur dapat menyelesaikan segera kelemahan agar ia tidak dikenang antara saingan paling teruk dalam sejarah penganjuran Sukan SEA sejak 1959.

Dalam edisi kali ini, sejumlah 530 acara dipertandingkan membabitkan 56 jenis sukan yang akan berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember ini.

Untuk rekod, Filipina sebelum ini pernah menganjurkan Sukan SEA sebanyak tiga kali pada 1981, 1991 dan 2005.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 26 Nov 2019