Silat mahu beri saingan

ZAIHAN (tengah) bersama jurulatih dan atlet Pencak Silat bagi kategori Seni dan kategori Silat Olahraga yang akan bertanding pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Skuad silat negara tetap optimis mampu memberikan saingan sengit pada temasya Sukan Sea Filipina bermula Sabtu ini meskipun tanpa tonggak utama.

Nama seperti Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir tidak dapat menyertai pasukan negara pada edisi kali ini selepas tuan rumah mengehadkan jumlah kategori yang dipertandingkan.

Namun, pengurus pasukan, Zaihan Mohd Isa tidak mahu ketiadaan beberapa tonggak utama itu dijadikan alasan skuad silat gagal menyerlah di Filipina.

Justeru, katanya, skuad silat pada kali ini menyasarkan dua emas, jumlah yang dilihat realistik.

“Seramai 12 pesilat akan menyertai Sukan Sea kali ini di mana lima daripadanya beraksi dalam silat olahraga dan selebihnya silat seni.

“Kami juga memperkenalkan beberapa muka baharu. Walaupun dua tahun lalu di Kuala Lumpur Malaysia memenangi 10 emas, ketika itu banyak kategori yang dipertandingkan.

“Ia jelas berbeza berbanding tahun ini apabila hanya sembilan kategori dipertandingkan. Untuk itu kami menyasarkan dua emas dan jika memperoleh lebih daripada itu, ia adalah satu bonus,” katanya.

Zaihan berkata, pihaknya akur dengan keputusan tuan rumah yang hanya mempertandingkan sembilan kategori saja pada edisi kali ini.

“Bukan kita saja, negara lain juga perlu akur dengan keputusan tuan rumah. Jadi saya berharap setiap pesilat dapat mempamerkan aksi terbaik dan menyumbang emas untuk kontinjen negara,” katanya.

Sementara itu, atlet negara, Muhammad Faizul M Nasir yang beraksi dalam acara silat olahraga berharap dapat memenangi emas buat kali ketiga berturut-turut.

Faizul cemerlang meraih emas ketika edisi 2015 di Singapura dan dua tahun kemudian di Kuala Lumpur.

“Saya tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Sebaliknya saya hanya mahu fokus kepada persiapan diri sendiri.

“Apapun saya memang meletakkan sasaran peribadi untuk mempertahankan emas yang dimenangi sebelum ini. Tetapi pada masa sama saya tidak akan mengambil mudah cabaran daripada pesilat negara lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 26 Nov 2019