Jackie fokus jarak lebih jauh

AKSI menarik raja baling tukul besi Asia Tenggara.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

JAGUH baling tukul besi kebangsaan, Jackie Wong enggan terlalu mendabik dada dan mahu kekal fokus mencatatkan rekod balingan lebih baik pada Sukan Sea Filipina, bulan depan. 

Atlet yang menghuni ranking nombor satu Asia Tenggara itu bersedia mengetepikan tekanan sebagai sandaran utama negara untuk kekal mempertahankan pingat emas pada temasya diwitahunan berkenaan.   

"Saya sememangnya tidak mahu terlalu memikirkan soal pingat kerana lebih fokus untuk memperoleh catatan peribadi terbaik sekali gus memperbaiki kelemahan balingan sedia ada.    "Apa yang penting mengekalkan momentum prestasi pada tahap maksimum. Jika kekal meraih emas, ia satu bonus buat saya dan kontinjen negara," katanya kepada Arena Metro.    

Jackie yang yang baru selesai menjalani latihan selama 50 hari di Korea Selatan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bakal berdepan pencabar utamanya dari Thailand, Kittipong Boonmawan.   

"Pemenang perak itu dikatakan turut kekal bertanding namun saya sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi saingan sengit kepada semua atlet.  Segala persiapan berjalan baik setakat ini dan saya masih giat menjalani rutin latihan sebelum berangkat ke Filipina bersama kem olahraga kebangsaan nanti," katanya yang kali kelima menyertai Sukan Sea.   

Untuk rekod, atlet berusia 27 tahun dari Sarawak itu memecahkan rekod kebangsaan dengan mencatat balingan sejauh 68.22 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Ogos lalu. 

Pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Jackie meraih emas dan memperbaharui rekod temasya dengan melakukan balingan 65.90m. 

Atlet yang menduduki ranking ke-97 dunia itu memecahkan dominasi penguasaan Kittipong yang meraih perak manakala gangsa milik Arniel Ferrera dari Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 26 Nov 2019