Bola jaring terus 'mengganas' [METROTV]

NAJWA (kiri) menhantar bola pada Khairunnisa Nazri ketika menentang Filipina pada perlawanan peringkat awalan acara Bola Jaring Sukan SEA Filipina di Santa Rosa Laguna. FOTO: Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

PASUKAN bola jaring negara terus melakar kemenangan kedua dalam kempen Sukan SEA Filipina apabila menjadikan tuan rumah 'lauk' kedua dengan meraih kemenangan 88-25, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Santa Rosa itu adalah yang kedua buat Malaysia selepas menumbangkan Thailand 62-42 petang semalam.

Aksi suku pertama menyaksikan skuad kendalian Tracey Robinson garang mendahului lawan 18-9 sebelum pelawat melebarkan jurang kepada 21 mata untuk menamatkan suku kedua dengan 44 berbalas 15.

Rentak permainan skuad negara terus konsisten pada suku ketiga apabila melebarkan penguasaan untuk mendahului perlawanan 22 mata.

Memasuki babak terakhir, ketinggian 1.79 sentimeter yang dimiliki An Najwa Azizan yang beraksi di posisi GS/GA (gol shooter/gol attack) nyata memberi kelebihan untuk merobek kubu lawan dan menguasai perlawanan 88-25.

Najwa yang ditemui sejurus tamat aksi mahu rakan sepasukan terus mengekalkan rentak apabila berdepan Brunei dan musuh tradisi Singapura selepas ini.

"Saingan kali ini berbeza daripada 2017 di Kuala Lumpur dan kita kena fokus dengan apa yang kita buat sekarang dan kekalkan momentum ini.

"Semua pasukan di Sukan Sea ini meningkat dan kita kena tingkatkan prestasi kerana semua pasukan juga bagus," katanya yang membantu Malaysia meraih pingat emas pada edisi lalu.

Skuad negara akan meneruskan kempen bertemu Brunei hari ini sebelum melayan Singapura di venue sama Jumaat ini.

Terdahulu, Thailand bangkit daripada kekalahan di tangan Malaysia apabila membenam Brunei 63-28 buat menghadirkan kemenangan pertama di temasya ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 26 Nov 2019