Peluang cerah!

MOHD Manshahar
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sukan olahraga sentiasa menjadi tumpuan di mana-mana temasya berprestij termasuk Sukan Sea kerana ia bukan saja menawarkan jumlah pingat terbesar malah ia turut menampilkan acara riben biru yang dinanti peminat bagi menobatkan pelari terpantas rantau ini.

Pada edisi Filipina kali ini, kem olahraga kebangsaan bakal mempertaruhkan 47 atlet terbaik untuk bertanding merebut sebanyak mungkin pingat buat negara di New Clark City, bulan depan.

Selain kategori A yang mendapat tajaan penuh, atlet bagi kategori B (pembiayaan persatuan) dilihat berpeluang cerah meraih pingat berdasarkan komitmen tinggi dan prestasi masing-masing.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga menyasarkan sekurang-kurangnya enam emas termasuk menerusi beberapa jaguh negara yang mahu mempertahankan kejuaraan diraih di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, segala perancangan kem kejurulatihan berjalan lancar selain prestasi atlet yang menunjukkan peningkatan menerusi beberapa kejohanan di dalam dan luar negara.

“Apa yang penting kini semua atlet perlu terus fokus dan mengekalkan prestasi termasuk mengelak daripada sebarang kecederaan yang akan menjejaskan persiapan ke temasya dwitahunan itu nanti.

“Kami juga tidak boleh terlalu selesa atau leka dan menganggap semua atlet negara lain berpeluang meraih pingat dalam semua acara dipertandingkan,” katanya.

Filipina sebagai tuan rumah dijangka menjadi saingan terkuat kerana mereka semestinya menurunkan barisan terbaik.

Selain itu, Vietnam pula pasti mahu mengekalkan rekod cemerlang 17 emas daripada atlet wanita negara berkenaan pada edisi terdahulu sambil Thailand mengungguli acara padang seperti lontar peluru.

Dalam pada itu, Mohd Manshahar yakin skuad bimbingannya menerusi kategori B turut berpeluang meraih pingat tanpa mengira warna berdasarkan potensi atlet yang memiliki pencapaian dan ranking terbaik di Asia Tenggara.

“Sebagai contoh, kuartet lari berganti-ganti sama ada acara 4x100 dan 4x400 meter yang dilihat berpotensi membantu Malaysia dalam pungutan pingat,” katanya.

Atlet kebangsaan yang menjadi sandaran meraih emas antaranya jaguh baling tukul besi, Jackie Wong; Lee Hup Wei/Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi); Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Rayzam Shah Wan Sofian (lari berpagar).

Atlet lain yang turut berpotensi adalah pelari pecut, Jonathan Nyepa; Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru); Choo Kang Ni (lempar cakera) dan Chuah Yu Tian (lompat bergalah).

Untuk rekod, pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, kontinjen olahraga memperbaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 27 Nov 2019