Belum 'ngam' lagi...

LUQMAN Hakim

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui tertekan pada penampilan pertamanya bersama skuad bawah 22 (B-22) tahun negara di Sukan Sea hingga gagal mempamerkan aksi terbaik.

Luqman, 17, yang bakal berhijrah ke Eropah bersama kelab utama Liga Belgium, KV Kortrijk pada Mac depan terkilan tidak mampu membantu pasukan melakar kemenangan dalam aksi sulung Kumpulan A kelmarin.

Skuad negara sekadar seri 1-1 bertemu Myanmar, malah terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mengikut kedudukan, sekali gus meraih satu mata.

“Bagi saya perlawanan pertama ini agak tertekan sikit mungkin sebab masih mencari keserasian dengan rakan-rakan yang lain. Saya tak puas hati lagi ada kekurangan sikit, jadi mungkin perlawanan akan datang saya akan buat lebih baik dan akan perbaiki kelemahan saya,” katanya kepada Arena Metro.

Luqman sememangnya menjadi sandaran utama bagi mengisi ketiadaan pemain senior Safawi Rasid yang digugurkan ekoran masalah kepenatan menempuh jadual perlawanan yang padat sepanjang musim ini.

Pemilihannya dianggap tepat berdasarkan aksi cemerlangnya ketika membantu skuad B-18 muncul juara kelayakan Kumpulan G Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Kemboja awal bulan ini.

Malah, dia juga adalah pemenang anugerah penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 di Kuala Lumpur tahun lalu yang meletakkannya antara penyerang terbaik Asia dalam pembikinan.

Ditanya mengenai permukaan padang tiruan di Stadium Memorial Rizal itu, Luqman mengakui kegagalan menyesuaikan diri dengan padang juga antara faktor gagal beraksi baik.

“Mungkin sebab bola laju kita tak biasa dengan padang ini baru kali pertama. Sebelum ini pun kita dah berlatih atas padang tiruan, tapi dengan licin dan bolanya lebih laju, sudah tentu lebih sukar,” katanya.

Sementara itu, Datuk Ong Kim Swee mahu Luqman segera menyesuaikan diri dan tampil lebih tajam seperti mana yang dilakukannya ketika bersama skuad bawah 18 (B-18) tahun negara.

Permintaan pengendali skuad B-22 itu susulan aksi longlai yang diperagakan Luqman dalam perlawanan terbabit.

Justeru, Kim Swee berharap pemain yang tersenarai antara 60 penyerang muda terbaik dunia oleh The Guardian itu dapat memperbaiki prestasinya untuk tiga aksi berikutnya selepas ini.

“Luqman boleh dikatakan masih lagi berada dalam tahap memuaskan, tapi belum mencapai tahap terbaik,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, Luqman dan seorang lagi pemain sayap berusia 17 tahun, Umar Hakeem Suhar Rezwan yang diturunkan dalam kesebelasan utama harus mencari segera keserasian dengan pemain senior yang lain.

“Dia (Luqman) perlu diberi masa termasuk Umar. Jadi dua pemain ini perlu menunjukkan persefahaman baik, itu yang lebih penting. Semua pemain sama ada daripada senior B-22 dan pemain muda kena bergabung dan mempunyai kombinasi lebih baik untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Mengenai tahap kecederaan tonggak serangan, Akhyar Rashid yang dikeluarkan pada babak kedua menentang Myanmar, beliau mengesahkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hanya mengalami kekejangan otot dan sempat untuk pulih sebelum menentang Filipina Jumaat ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 27 Nov 2019