Dua kemenangan bukan ukuran sebenar

Pemain Malaysia, Pow Mei Foong (kiri) mengawal bola dari dirampas ketika menentang Filipina. FOTO OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KEJAYAAN merakam dua kemenangan besar ke atas Thailand dan Filipina pada dua aksi sebelum ini, masih belum memuaskan hati pengendali bola jaring negara, Tracey Robinson.

Jelasnya, dua kemenangan awal dalam kempen saingan Sukan Sea itu belum boleh dijadikan ukuran sebenar tentang peluang skuad negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu.

Katanya, berdepan Brunei hari ini bakal memberi cabaran berbeza kepada skuad kendaliannya.

"Kita akan menentang Brunei selepas ini dan berpeluang melihat mereka beraksi menentang Thailand tadi.

Walaupun rata-rata pemain Brunei tidak terlalu tinggi namun ketepatan penyudah pemain mereka cukup bahaya.

"Mungkin kita ada sedikit kelebihan kerana pemain kita lebih tinggi namun saya tidak mahu pemain berasa selesa dengan situasi itu.

"Sebaliknya pemain kena meningkatkan lagi prestasi di mana sudah tentu Brunei akan datang lebih agresif untuk memburu kemenangan apabila bertemu kita.

"Saya mahu kita meneruskam momentum kemenangan supaya kita tidak tertekan apabila bertemu Singapura dalam aksi terakhir Jumaat ini," katanya.

Terdahulu, skuad negara yang diletakkan sebagai pasukan pilihan selepas membelasah Thailand dengan 62-42 serta tuan rumah 88-25.

Berdasarkan format pertandingan yang berjalan secara round robin, empat pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.

Skuad bola jaring sebelum ini menamatkan kemarau 16 tahun pingat emas apabila memenanginya di Kuala Lumpur edisi lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 27 Nov 2019