Juwaidi yakin menjadi di Filipina

Juwaidi yakin beraksi di Filipina. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

BARISAN pemanah negara dilihat berada di landasan terbaik menghadapi Sukan SEA Filipina walaupun pulang tanpa sebarang pingat pada Kejohanan Asia Bangkok, Thailand.

Malaysia terlepas tiga peluang meraih gangsa menerusi barisan pemanah compound menerusi acara berpasukan lelaki, perseorangan wanita dan campuran.

Malah kemampuan Juwaidi Mazuki yang memecahkan rekod kebangsaan ketika pusingan kelayakan menambahkan keyakinannya yang bakal menjadi taruhan utama di Sukan SEA.

"Ya, keyakinan tetap ada untuk hadapi Sukan SEA. Secara keseluruhan saya sifatkan prestasi di Bangkok adalah memuaskan namun tetap perlu berwaspada dengan negara lain," jelas Juwaidi.

Gandingannya bersama Zulfadhli Ruslan dan M Khambeswaran dalam berpasukan lelaki tersingkir di separuh akhir kepada jaguh dunia, Korea Selatan dan kecundang kepada Iran dengan perbezaan dua mata dalam penentuan gangsa.

Gandingan bersama Fatin Nurfatehah dalam acara campuran turut terlepas gangsa dengan Korea Selatan turut menjadi penghalang apabila meraih 155 mata berbanding lawan 159 mata.

Fatin Nurfatehah turut terlepas gangsa acara individu apabila kecundang kepada lawan dari Taiwan, Lin Ming-Ching dengan perbezaan dua mata.

"Walaupun terlepas gangsa, saya fikir kami masih dalam prestasi yang baik. Saya berharap rentak dan momentum dapat diteruskan pada minggu depan (Sukan SEA)," kata Fatin Nurfatehah.

Skuad memanah negara diletakkan harapan besar untuk memastikan lima emas di Sukan SEA nanti.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 27 Nov 2019