Pavinya sedia gegar Vermosa

Pavinya sedia beri cabaran terhadap Singapura dan Indonesia. FOTO OWEE AH CHUN
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hemtro.com.my

UMUM mengetahui sukan hoki dalam air masih baru di Malaysia namun pemain termuda dalam skuad wanita, R Pavinya sudah tidak sabar untuk menggegarkan Hab Sukan Vermosa di Cavite.

Pavinya yang juga pemain paling muda untuk skuad hoki dalam air wanita, mengakui sudah tidak sabar mencabar dirinya sekali gus dapat memberikan aksi terbaik di Sukan SEA Filipina 2019.

"Suatu hari nanti saya mahu dikenali sebagai salah seorang penyerang terbaik di bahagian serangan.

Sejak mula mewakili negara tahun lalu sukan baru ini sentiasa mendapat tanggapan positif dan negatif. Bagaimanapun, semuanya saya terima dengan terbuka," katanya.

Dia yang baru berusia 18 tahun menganggap segala tanggapan masyarakat mengenai sukan baru itu adalah tonik terbaik buatnya untuk mempertingkatkan prestasi.

"Pada mulanya sejak berjinak-jinak dengan sukan ini saya tidak pernah terfikir boleh sampai ke peringkat tinggi. Berdasarkan kerja keras saya sudah bersedia mewakili negara ke Sukan SEA.

"Bagi saingan wanita, Singapura adalah pasukan terkuat. Bagaimanapun, kita akan cuba yang terbaik bersaing dengan Indonesia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua gangsa bagi setiap kategori (4 lawan 4 dan enam lawan enam)," katanya.

Pavinya yang juga bekas atlet renang dan polo air, mengakui bahawa Singapura, Filipina dan Indonesia sudah lama berkecimpung dalam sukan berkenaan berbanding Malaysia sejak tiga tahun lalu namun dia yakin dengan kemampuan dimiliki rakan sepasukannya.

"Mereka memang mempunyai kemahiran dari segi mengawal bola di dalam air, namun kita juga tidak kurang hebatnya dari segi kecergasan.

Setiap pemain hoki dalam air mempunyai latar belakang sukan lain seperti renang, polo air dan triatlon.

"Kami juga mempunyai tugas besar selepas Sukan SEA apabila bakal berlangsungnya kelayakan Kejohanan Dunia tahun depan.

Ia penampilan sulung Malaysia di peringkat antarabangsa dan bakal membabitkan ranking dunia," katanya.

Hoki dalam air yang kali pertama dipertandingkan di Sukan SEA akan bermula 2 hingga 4 Disember dengan menawarkan empat emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 27 Nov 2019