Farah sedia gegar Filipina

SKUAD gimnastik negara tiba di Hotel penginapan sempena Sukan SEA Filipina 2019. Antara atlitnya, Farah Ann Abdul Hadi, Tracy Ang. FOTO/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim melaporkan dari Filipina
firdaushashim@hmetro.com.my

GIMNAS Olimpian negara, Farah Ann Abdul Hadi sudah bersedia untuk menggegar pentas Sukan Sea 2019 apabila dia bersama pasukan gimnastik artistik wanita tiba di Manila, Filipina, hari ini.

Reputasi hebat Farah sememangnya tidak boleh disangkal lagi terutama selepas kejayaan gadis manis berusia 25 tahun itu menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun tahun depan.

Prestij yang dibawa Farah bukan sahaja menyuntikkan semangat buat rakan sepasukan tetapi mencetuskan gerun dalam kalangan pencabar.

Malah, tidak keterlaluan apabila dia menyasarkan untuk menambah koleksi pingat emas kelimanya dalam temasya Sukan Sea selepas memenangi tiga emas di Kuala Lumpur (2017) dan satu emas di Singapura (2015).

"Secara fizikal dan mental saya sudah bersedia menghadapi Sukan Sea di sini dan yakin mampu menyumbang sesuatu buat kontinjen negara.

"Walaupun acara berpasukan tidak dipertandingkan kali ini, saya akan memberi fokus sepenuhnya dalam acara senaman lantai dan palang bertingkat," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), di sini, hari ini.
Sejak kali pertama membuat penampilan dalam temasya itu ketika edisi 2011 di Indonesia, Farah mula mencipta nama sebagai bintang terbaik Asia Tenggara.

Hanya ketika Singapura 2015 dia mula menikmati tuaian pingat emas dan terus mengekalkan penguasaannya dua tahun kemudian di Kuala Lumpur.

Kali ini, tuan rumah, Filipina, berhasrat untuk merampas dominasi daripada Malaysia dengan menjadikan sensasi remaja mereka, Kaitlin de Guzman, sebagai pencabar kepada takhta Farah.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 27 Nov 2019