Taktikal ampuh!

IRFAN Zakaria (tengah)
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

TRIO pertahanan negara - Adam Norazlin, Irfan Zakaria dan Dominic Tan - bakal mengetuai misi penting pasukan yang mahu memburu tiga mata apabila menentang Filipina pada aksi kedua Kumpulan A, Sukan Sea di Stadium Memorial Rizal, malam esok.

Irfan yang menyertai skuad bawah 22 (B-22) di temasya ini sebagai pemain lebih usia, yakin taktikal tiga pertahanan yang digunakan mampu mengekang asakan lawan biarpun bermula agak goyah pada aksi pertama bertemu Myanmar, Isnin lalu.

Pada aksi pembukaan itu, skuad negara dibolosi seawal minit ke-13 sebelum berjaya bangkit untuk mengikat keputusan 1-1.

Menurut Irfan, formasi tiga pertahanan bukanlah sesuatu yang baharu buat pasukan terutama di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee yang pernah membuktikan taktikal berkenaan berkesan.

Untuk rekod, strategi sama sering digunakan sebelum ini seperti kejayaan memenangi pingat perak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, mara ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari tahun lalu serta kemampuan mengejutkan Korea Selatan di saingan Sukan Asia di Indonesia Ogos lalu.

Katanya, dia yakin kombinasi itu akan tampil lebih kemas ketika bertemu tuan rumah nanti.

“Walaupun kami pernah bermain bersama di Sukan Sea (di Kuala Lumpur 2017) dua tahun lalu, kami perlu dapatkan kembali keserasian itu.

“Mungkin (keserasian) tak memakan masa dan kami cuba sedaya upaya buat yang terbaik supaya gawang Malaysia tak dibolosi.

“Jadi mungkin perlawanan pertama kami banyak kekurangan tapi kami akan cuba meningkatkan dan kekalkan keserasian bersama,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Memorial Rizal, semalam.

Mengulas mengenai aksi bertemu Filipina nanti, pemain Kuala Lumpur itu percaya pemain sudah mengetahui serba sedikit kekuatan dan kelemahan lawan menerusi tayangan video yang dilakukan dalam sesi taklimat pasukan.

“Dari segi persiapan, kami sudah menyaksikan video mereka (Filipina menentang Kemboja, Isnin lalu) dan jurulatih sudah maklumkan tugas masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 28 Nov 2019