Prestasi Zaidatul semakin baik

ZAIDATUL dalam misi pertahan pingat di New Clark City.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ratu pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli kembali menemui rentak larian terbaiknya yang diharap menjadi bekalan terakhir untuk kekal menaiki podium di Sukan Sea Filipina.

Olimpian negara yang mengalami kecederaan pangkal paha kiri sebelum ini mengaku sudah cergas sepenuhnya untuk beraksi dalam acara riben biru di temasya dwitahunan berkenaan.

“Selepas pulih daripada kecederaan, saya kini dalam proses untuk mendapatkan semula rentak larian dan bersyukur kerana tahap prestasi semakin baik serta memenuhi sasaran peribadi.

“Namun, saya tidak boleh terlalu yakin dan akan berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan pingat di New Clark City nanti,” kata pelari berusia 26 tahun itu.

Zaidatul berkata, dia kini memberi fokus sepenuhnya dengan menjalani rutin latihan terutama bagi memperbaiki teknik larian dan mengekalkan momentum prestasinya.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar pada temasya itu dan turut menumpukan perhatian dalam acara 4x100 meter (m) wanita dan campuran,” katanya yang merangkul emas dalam acara 100m Kejohanan Olahraga Terbuka BJSS-Innotex, minggu lalu.

Pada edisi Filipina kali ini, kem olahraga kebangsaan bakal mempertaruhkan seramai 47 atlet yang akan bertanding merebut sebanyak mungkin pingat buat negara bermula 6 Disember.

Untuk rekod, pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Zaidatul meraih perak dalam acara 100m dengan catatan 11.74 saat (s) di belakang atlet Vietnam, Le Tu Chinh (11.56s) yang merangkul emas, manakala gangsa milik Pereira Veronica Shanti dari Singapura (11.76s).

Kali terakhir Malaysia meraih emas 100m adalah menerusi G Shanti ketika temasya berkenaan dilangsungkan di Jakarta, Indonesia pada 1997.

Zaidatul yang juga pemegang rekod kebangsaan pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio, Brazil dengan mencatat kepantasan 12.12s pada pusingan kelayakan, namun gagal mengekalkannya pada saringan pertama apabila hanya melakukan catatan 12.62s.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 28 Nov 2019