Qi Xuan mahu timba pengalaman

Qi Xuan sedia beri cabaran di Filipina. FOTO NSTP/MUHAIZAN YAHYA
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

KETIADAAN Goh Jin Wei seakan memberi tuah kepada perseorangan wanita negara, Eoon Qi Xuan yang akan tampil memperkuatkan skuad negara di temasya Sukan SEA Filipina 2019.

Naib juara Siri Antarabangsa Malaysia itu mengakui sangat gembira selepas mendapat tahu namanya tersenarai untuk menggantikan Jin Wei yang baru saja menjalani pembedahan.

"Saya tidak jangka dan tidak dapat membayangkan bagaimana beraksi di pentas Sukan SEA nanti.

Saya berharap boleh diturunkan walaupun perlu bersaing dengan tiga senior untuk acara berpasukan," katanya kepada Arena Metro.

Qi Xuan yang berusia 19 tahun mengakui akan menggalas tanggungjawab sepenuhnya dan terpulang kepada pihak pengurusan mengenai segala percaturan di Filipina.

"Saya harap mampu untuk meraih banyak pengalaman bersama pemain senior. Saya mahu belajar dengan melihat cara permainan mereka," kata pemain kelahiran Perak itu.

Ditanya mengenai harapannya untuk musim baru tahun depan, Qi Xuan mengakui bahawa dia perlu lebih banyak fokus di dalam latihan.

"Saya harus banyak belajar dan tukar pendapat dengan rakan rapat saya, S Kisona.

Saya mahu bersaing dengannya secara sihat dan menjadikannya sebagai contoh.

"Kisona mempunyai kemahiran yang bagus dan saya pula perlu memperbaiki dari segi pergerakan di dalam gelanggang serta kekuatan tangan," katanya.

Selain Qi Xuan dan Kisona, dua lagi pemain perseorangan wanita menggalas cabaran di Sukan SEA ialah Soniia Cheah dan Lee Ying Ying.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 28 Nov 2019