Skuad polo intai emas

Skuad polo negara akan berdepan Filipina untuk penentuan pingat emas. FOTO Ihsan Sekretariat MEDIA Malaysia
BERNAMA

SKUAD polo negara hampir pasti menghadiahkan pingat pertama untuk kontinjen Malaysia pada Sukan Sea ke-30 selepas menewaskan Brunei menerusi keputusan 8 berbalas 5.5 pada aksi ketiga pusingan awal di Padang Polo Inogo Zobel, Batangas, Manila, hari ini.

Kemenangan kedua berkenaan menyaksikan Malaysia muncul naib juara dan mereka bakal berentap dengan juara pusingan awal, Filipina pada aksi penentuan pingat emas, Ahad ini.

Pengurus skuad polo negara, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim yang dihubungi Bernama jelas gembira dan bersyukur di atas kemenangan hari ini sambil mendedahkan pasukan Brunei memberikan saingat hebat kepada skuad polo negara bermula daripada awal perlawanan dan optimis skuad negara mampu bangkit untuk menewaskan Filipina pada pentas final nanti.

“Yang Mulia Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Sulaiman sekali lagi mempamerkan persembahan yang menakjubkan dengan gandingan Amran Selamat serta pemain berbakat besar, Abdul Rashid Hasnan yang membawa pasukan negara ke final,” jelas Mohamad Zekri.

Beliau mendedahkan skuad negara menggunakan khidmat pemain gantian, Mohamed Shariezal Baserie setelah pemain utama negara, Syed Ahmad Saipulrudin Syed Mohd mengalami kecederaan lengan, semasa Malaysia tewas dengan keputusan 8 1/2 berbalas lima kepada Filipina pada aksi kedua, Selasa lalu.

Filipina merekodkan kemenangan kedua berturut-turut setelah menang tipis enam berbalas 4 1/2, ke atas Indonesia pada satu lagi aksi pusingan awal di venue sama.

Brunei menduduki tangga ketiga selepas berakhirnya pusingan awal dijadualkan menentang Indonesia pada penentuan pingat gangsa.

Skuad negara sebelum ini mengatasi Indonesia 11 berbalas 7 1/2 pada aksi pembukaan Ahad lalu, sebelum tewas kepada Filipina, selang dua hari kemudian.

Sebagai rekod, Malaysia merupakan juara bertahan sukan polo pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 28 Nov 2019