Malaysia belasah Brunei 69-23

Pemain Malaysia, Nurfariha Abd Razak (kiri) cuba merampas bola daripada pemain Brunei Siti Norsaihah (kanan). FOTO BERNAMA
BERNAMA

SKUAD bola jaring negara unggul membuktikan status sebagai juara bertahan Sukan Sea selepas membelasah Brunei 69-23 dalam aksi ketiga pusingan awal, hari ini.

Beraksi di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, Manila, pasukan negara yang menang dua perlawanan sebelum ini nyata sukar digugat apabila mendahului 17-5 pada suku pertama.

Brunei memberi tentangan pada suku kedua namun kehebatan dipamer pemain negara khususnya Norashikin Kamal Zaman yang bermain di posisi ‘goal shooter’ (GS), banyak membantu Malaysia untuk terus berada di hadapan dengan 26-15.

Biarpun jurulatih negara, Tracey Robinson merehatkan beberapa tonggak utama pada suku ketiga dan keempat Malaysia tetap garang menoktahkan kemenangan ke atas Brunei, dengan jurang yang besar.

Kemenangan itu sekali gus menyuntik motivasi pemain negara yang bakal berdepan musuh tradisi, Singapura, esok (Jumaat).

Norashikin berharap rakan sepasukan mampu mengekalkan momentum terbaik ketika ini dan fokus dengan setiap strategi yang diatur jurulatih, pada perlawanan akan datang yang dijangka sengit.

“Singapura pun bagus juga, sebab mereka pergi ke Kejohanan Dunia. Jadi kami anggap ia sebagai satu cabaran untuk kami hadapi,” katanya.

Tracey mengakui bakal berhadapan saingan sengit menentang Singapura, namun tetap optimis dengan keupayaan dimiliki anak didiknya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 28 Nov 2019